Perak galak bina rumah mesra milik di bandar
SITIAWAN - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa mengenal pasti lokasi strategik dalam bandar supaya dapat dibangunkan sebagai projek perumahan Rumah Perakku.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu bagi memberi nilai tambah kepada kumpulan sasar iaitu B40 menjalani kehidupan lebih kondusif di kawasan yang menjadi tumpuan.
Menurutnya, pendekatan itu dimulakan Pejabat Tanah dan Daerah Manjung yang membuat keputusan tidak lagi meletakkan rumah mesra milik di hujung dunia, sebaliknya membuka ruang pembinaan di tengah bandar supaya komunitinya tidak berasa terasing.
“Ini satu perkara yang sudah dirangka mereka dan saya kagum dengan usaha itu. Walaupun penempatan di kawasan bandar, harga rumah masih sama.
“Jadi saya ingin mengesyorkan kepada semua daerah untuk kenal pasti lokasi sebegini supaya kita dapat beri nilai tambah kepada pembeli daripada kumpulan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Taman Mohd Wazir, Batu 10 Lekir dan Penyerahan Surat Tawaran RPT Kampung Sungai Tiram di Arena Square Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Islahiah Addiniah Batu 10 Lekir, hari ini.
Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong dan Ahli Parlimen Lumut yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.
Ahmad Faizal berkata, bagi fasa awal projek Rumah PerakKu, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang giat membina 440 unit rumah kos rendah dan 910 rumah kos sederhana di seluruh negeri.
Menurutnya, setakat ini LPHP sudah menerima lebih 11,611 permohonan bagi rumah kos rendah dan 943 permohonan bagi rumah kos sederhana.
“Kita menjangkakan jumlah permohonan ini akan terus meningkat dan bagi daerah Manjung antara projek perumahan dirancang adalah di Batu 10 bersebelahan projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 340 unit.
“Sementara itu, di Batu 14, Lekir sebanyak 60 unit. Bagi daerah-daerah lain usaha sama sedang dibuat,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, 50 unit Rumah Perakku di Taman Mohd Wazir, Batu 10 Lekir adalah projek lanjutan program rumah My Beautiful New Home di bawah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan yang tergendala.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil inisiatif meneruskan projek berkenaan di atas tapak seluas 1.97 hektar dengan memberi nilai tambah antaranya menggunakan sistem bangunan industri (IBS) dan lokasi menghubungkan Manjung dan Teluk Intan.
“Jika dinilaikan bersekali dengan harga tanah, nilainya dianggarkan mencecah sehingga RM160,000, namun pembeli rumah ini dapat memilikinya pada kadar RM20,000 saja.
“Ini bermakna, pembeli hanya perlu membayar tidak lebih RM70 sebulan dalam tempoh pembayaran pinjaman sehingga 35 tahun,” katanya.
Rumah bersaiz 758 kaki persegi yang meliputi ruang tamu, ruang makan, dapur, tiga bilik tidur, sebuah bilik air dan sebuah tandas itu disiapkan hanya dalam tempoh 97 hari dengan bantuan pengajar dan pelajar Kolej Komuniti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!