Akta Jenayah Komputer 1997 perlu dipinda banteras jenayah siber
SHAH ALAM - Akta Jenayah Komputer 1997 perlu dipinda semula kepada suatu undang-undang yang lebih berkesan dalam menangani isu jenayah siber yang kian meruncing di negara kita.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar supaya akta tersebut dipinda.
Menurutnya, kadar kepenggunaan siber negara berada di tangga kesembilan tertinggi di dunia dengan jumlah penembusan sekitar 83 peratus dan kadar meningkat lebih satu juta pengguna baharu setiap tahun ini mengundang peningkatan kadar jenayah siber yang semakin pelbagai mengikut perubahan teknologi.
“Peningkatan tersebut mencatatkan nilai kerugian melebihi RM 5 bilion dalam tempoh dua tahun yang telah merugikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ditambah pula dengan situasi ekonomi yang kurang baik disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) yang memberi kesan buruk jangka pendek dan panjang kepada negara,” katanya.
Menurutnya, akta tersebut wajar dipinda kerana ia kurang relevan dengan keadaan semasa yang sedang bergerak ke arah era digital yang melibatkan lebih banyak interaksi secara maya.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penjenayah terpaksa menukar modus operandi ke arah digital yang mengundang kepada peningkatan kes-kes berkaitan penipuan, penyalahgunaan internet dan sebagainya.
“Jenayah siber juga menjejaskan banyak syarikat perbankan, agensi kerajaan dan pendidikan yang sedang melalui normal baharu di mana lebih banyak interaksi digital berlaku seperti kebocoran maklumat peribadi dan dokumen rahsia,” katanya.
Katanya, jika akta tersebut dipinda, pihaknya dapat melihat kesan pindaan itu mampu memberikan satu kaedah penyelesaian baharu seperti penaiktarafan Unit Jenayah Siber dan Multimedia di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) kepada satu Jabatan baharu khusus menangani jenayah siber di dalam negara sebagai contoh Jabatan Siasatan Jenayah Siber di bawah Polis Diraja Malaysia.
“Langkah ini juga bertepatan dengan usaha kerajaan yang telah meletakkan ruang siber sebagai zon utiliti ketiga negara baru-baru ini, yang mana usaha kerajaan dalam memastikan proses Malaysia Digital dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan mengambil aspek keselamatan pengguna sebagai keutamaan penting,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!