Vaksin Moderna 94.5 peratus berkesan
CAMBRIDGE - Firma bioteknologi di Amerika Syarikat (AS), Moderna hari ini mengesahkan vaksin koronavirus (Covid-19) dihasilkan mereka adalah 94.5 peratus berkesan.
Keputusan itu berdasarkan data sementara daripada ujian klinikal fasa ketiga sekali gus menjadi syarikat kedua di AS dalam tempoh seminggu yang mengumumkan keberkesanan vaksin berpotensi mereka untuk merawat virus tersebut.
Susulan pengumuman itu, AS bakal mempunyai dua vaksin yang akan digunakan untuk kegunaan kecemasan pada bulan depan dan dijangka sehingga 60 juta dos dapat dihasilkan menjelang akhir 2020.
"Kita akan mempunyai vaksin yang akan menghentikan penyebaran Covid-19," kata Presiden Moderna, Stephen Hoge.
Analisis sementara firma tersebut adalah berdasarkan keputusan 95 peratus jangkitan dalam kalangan sukarelawan yang menerima vaksin atau plasebo.
Difahamkan, kelebihan utama vaksin Moderna itu adalah ia tidak memerlukan penyimpanan ultra sejuk seperti vaksin dihasilkan Pfizer yang menjadikan ia mudah diedarkan.
Moderna menjangkakan vaksin yang diberikan secara dua dos suntikan dalam tempoh selang 28 hari itu berada dalam keadaan stabil pada suhu standard peti sejuk dua hingga 8 darjah Celsius untuk tempoh selama 30 hari dan boleh disimpan sehingga enam bulan pada suhu -20 darjah Celsius.
Sementara itu, vaksin Pfizer pula perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius yang sama seperti ketika musim sejuk Antartika manakala pada suhu standard peti ais, ia boleh disimpan sehingga lima hari.
Kedua-dua vaksin tersebut dihasilkan menggunakan teknologi baharu digelar RNA atau mRNA yang mewakili 'alat baharu' yang kuat untuk memerangi pandemik itu yang telah menjangkiti 54.5 juta orang di seluruh dunia.
Pada tahun depan, AS bakal mempunyai akses kepada lebih sebilion dos yang didakwa melebihi keperluan diperlukan 330 juta penduduk di negara itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penemuan vaksin Covid-19 beri isyarat krisis akan berakhir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!