PKPB Lembah Klang bukan kegagalan, kata Dr Noor Hisham
PUTRAJAYA - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak pertengahan Oktober lalu bukanlah satu kegagalan, tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menyangkal dakwaan PKPB telah gagal, Dr Noor Hisham berkata, lonjakan kes koronavirus (Covid-19) di Lembah Klang kini hanya terhad kepada pekerja binaan dan bukan dalam komuniti.
“Saya tidak melihat PKPB adalah satu kegagalan. Ia berfungsi dengan baik (dalam mengawal Covid-19). PKPB berjaya membendung dan mengurangkan jangkitan di Sabah.
“Untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memakan kos yang besar. Jadi kita kena seimbangkan antara nyawa dan mata pencarian dengan PKPB,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan telah bersedia dari awal untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya) serta Negeri Sembilan.
Katanya, PKP tidak dilaksanakan kerana 40 peratus ekonomi negara tertumpu di Selangor.
"Oleh itu PKPB dilaksanakan (di Lembah Klang) pada 14 Oktober," katanya.
Mengulas kes Covid-19 di Lembah Klang, Dr Noor Hisham berkata, terdapat dua kluster besar iaitu Kluster Tapak Bina Damanlela dan Kluster Merpati di tapak pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
“Kebanyakan kes dari tapak pembinaan adalah pekerja asing,” katanya.
Katanya, daripada 1,103 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini 53.7 peratus melibatkan pekerja asing.
Hari ini Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya merekodkan 543 kes baharu Covid-19 berbanding Sabah yang mencatatkan 288 kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!