Warga emas maut ditikam dengan sudu
IPOH - Seorang warga emas lelaki ditemui mati dengan kesan luka di dada dipercayai ditikam dengan menggunakan sudu besi dalam satu pergaduhan di sebuah rumah kedai di Jalan Theatre di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Chai Ah Kin, 83, maut di tempat kejadian manakala, jirannya seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan kritikal akibat ditetak lelaki lain.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pergaduhan itu melibatkan empat individu termasuk seorang wanita dan kesemuanya adalah jiran yang menyewa bilik di tingkat dua premis berkenaan.
“Mangsa bergaduh dengan suspek dan berlaku pergelutan antara mereka di tangga premis itu. Kejadian itu dilihat oleh wanita berkenaan yang campur tangan dan cuba meleraikan pergaduhan itu.
“Suspek kemudiannya bertindak agresif dengan mencekik wanita berkenaan. Perbuatan itu dilihat oleh anak wanita tersebut dan dia cuba selamatkan ibunya dengan menetak suspek dengan pisau,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan suspek cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), namun dia dilaporkan kritikal.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan pergaduhan itu disyaki akibat perselisihan faham berlarutan antara mangsa dan suspek yang baru menyewa sejak enam bulan lalu.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Polis turut menahan anak wanita terbabit untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!