PKPB: Solat Jumaat ditangguhkan di zon merah
IPOH - [DIKEMAS KINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan solat Jumaat ditangguhkan dan diganti dengan solat Zuhur di rumah masing-masing mulai hari ini bagi kawasan zon merah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, baginda bertitah demikian selepas menimbang sembah nasihat Jawatankuasa Faktwa Negeri, Jabatan Agama Islam Perak serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Solat berjemaah pada setiap solat fardu di zon merah hanya boleh dilaksanakan oleh enam jemaah terdiri dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa kariah.
"Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa. Bagi aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian dan sebagainya ditangguhkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagi zon kuning dan hijau, Shahrul Azam berkata, solat Jumaat dan solat fardu lima waktu adalah dibenarkan berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter antara jemaah.
"Kehadiran menunaikan solat Jumaat dan ahli jemaah hanya dibenarkan kepada warganegara dan identiti jemaah hendaklah disemak serta direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.
"Selain itu, pelaksanaan solat fardu lima waktu secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid, surau diri Jumaat dan surau dalam negeri juga dibuka kepada Muslimah di ruang khas yang disediakan," katanya.
Shahrul Azam berkata, penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk ibadah solat serta aktiviti hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan MKN dan KKM.
Artikel berkaitan: Perak benarkan solat Jumaat, berjemaah bersyarat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!