Bekas pemain import PBNS didenda RM8,000

Tertuduh diiring SPRM di mahkamah.
Tertuduh diiring SPRM di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas pemain import Pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menipu apabila memperdaya pihak bank dengan mengemukakan invois palsu berjumlah RM 48,879.91 dua bulan lalu.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Matheus Fernandes Vila Real, 28, warga Brazil selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Portugis.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menipu wakil kepada pihak Bank CIMB dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa Remittance Application Form dan invois palsu yang dikemukakan untuk pembelian barangan dagangan iaitu 5,825 unit 'dye ink' bertarikh 23 September 2020 atas nama Wind Pacific Consulting Ltd adalah dokumen benar bagi tujuan permohonan untuk pindahan wang.

Berikutan itu tertuduh dengan sengaja mendorong pihak bank untuk meluluskan permohonan pindahan wang secara transaksi atas talian dari akaun Bank CIMB milik tertuduh ke akaun Ambank milik Wind Pacific Consulting Ltd yang mana mereka tidak akan meluluskannya jika tidak diperdayakan.

Perbuatan itu dilakukan pada 30 September 2020 di Bank CIMB Cawangan Seremban.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu tertuduh dalam rayuannya mengaku menyesal atas perbuatan dilakukan dan memohon maaf dengan alasan tidak memahami undang-undang dan prosedur pindahan wang di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kontraknya dengan PBNS juga telah tamat dan kini tidak mempunyai sumber pendapatan kerana tiada pekerjaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!