Peru buka siasatan terhadap bekas Presiden Manuel Merino

Peguam Negara Peru akan membuka kertas siasatan terhadap bekas Presiden, Manuel Merino atas pertuduhan melakukan pembunuhan. Gambar hiasan 123RF
Peguam Negara Peru akan membuka kertas siasatan terhadap bekas Presiden, Manuel Merino atas pertuduhan melakukan pembunuhan. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

LIMA - Peguam Negara Peru, Zoraida Avalos pada Isnin berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan terhadap bekas Presiden, Manuel Merino atas pertuduhan melakukan pembunuhan, berikutan kematian dua penunjuk perasaan pada Sabtu.

Dalam video yang dimuat naik di media sosial, Avalos berkata, bekas Perdana Menteri, Antero Flores-Araoz dan bekas Menteri Dalam Negeri, Gaston Rodriguez juga sedang disiasat, lapor agensi berita Xinhua.

"Manuel Merino de Lama, Antero Flores-Araoz dan Gaston Rodriguez dituduh menyalahgunakan kuasa, pembunuhan tanpa niat terhadap Jordan Inti Sotelo Camargo dan Jack Bryan Pintado Sanchez," katanya memetik agensi berita Andina.

Merino meninggalkan pejabat presiden pada Ahad selepas mengambil alih jawatan itu pada Selasa, sehari selepas Martin Vizcarra disingkirkan, mencetuskan gelombang demonstrasi besar-besaran yang meragut dua nyawa.

Kongres Peru pada Isnin memilih Francisco Rafael Sagasti sebagai pemimpin baharu, langkah awal sebelum melantik beliau sebagai Presiden. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!