Pemergian Baharom kehilangan besar industri media
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] “Baharom seorang yang rajin, gigih dan banyak menulis artikel bernas,” demikian kata bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang.
Beliau berkata, pemergian Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, 54, hari ini merupakan kehilangan besar bagi industri media.
“Kerjaya Allahyarham sentiasa meningkat dan telah menunjukkan kemajuan baik. Saya mengenalinya sejak beliau bekerja di Utusan Malaysia dan telah jalinkan persahabatan hampir 30 tahun.
“Sedih mendengar berita pemergiannya awal pagi tadi, baru sahaja berjumpa 31 Oktober lepas. Kami bersama beberapa orang rakan veteran lain bersembang dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semasa program akhbar The Star.
“Allahyarham nampak kurang sihat pada masa itu tetapi banyak soalan yang dilontarkan tentang orang muda dan perjuangan orang muda,” katanya kepada Bernama.
Baharom dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pagi tadi selepas mengalami pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah.
Dalam pada itu, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Mokhtar Hussain yang mengenali Baharom sejak 15 tahun lepas, berkata, Allahyarham merupakan seorang rakan yang baik dan wartawan disanjungi.
“Allahyarham sentiasa berusaha memberi pandangan bernas dalam apa jua aspek memajukan kewartawanan dan industri media di Malaysia,” katanya.
Mokhtar berkata, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ialah kira-kira dua bulan lepas bagi membincangkan tentang kolaborasi frateniti media untuk mempertingkatkan lagi kandungan.
Turut sedih dengan pemergian Allahyarham, Penasihat Kumpulan Star Media Group Berhad Datuk Seri Wong Chun Wai menyifatkan Allahyarham seorang profesional dan berintegriti dalam tugasnya.
“Kali terakhir jumpa 31 Oktober lepas, kami sentiasa bertukar mesej membincangkan isu-isu berkaitan politik dan media. Dia adalah wartawan senior, jadi komen dan tulisan dia berkualiti. Ada wartawan yang naik pangkat seperti dia sudah berhenti menulis dan beri komen, banyak editor yang jadi desk-bound journalist (terikat dengan kerja-kerja di pejabat) tetapi Allahyarham tetap terus menulis dan beri pandangan,” katanya.
“Kami juga banyak membuat liputan berita bersama-sama, sampaikan dia pernah bawa balik telefon bimbit saya selepas pinjam untuk membuat news (laporan berita),” katanya.
Sementara itu, bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, pelbagai kenangan manis tercipta sepanjang persahabatannya dengan Allahyarham sejak menyertai syarikat akhbar tersebut.
“Saya sertai Utusan Malaysia pada 1989, diikuti Baharom selang dua tahun kemudian. Kami sememangnya sangat rapat apatah lagi kami sama-sama terbabit dalam bidang kewartawanan.
“Kami membuat pelbagai liputan media bersama-sama daripada soal politik, pilihan raya hinggalah kes jenayah, malah ketika Baharom menjadi pewarta Utusan Malaysia di London antara 1994 hingga 1997, saya turut berada di sana kerana menyambung pelajaran,” katanya.
Zaini yang kini bertugas sebagai Pengarah Eksekutif Rare Media Sdn Bhd turut meluahkan kesedihan atas kematian sahabat baiknya itu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!