Enam menara telekomunikasi bakal dibina di DUN Cheka

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak enam menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka bagi memastikan liputan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan itu dapat ditambah baik.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan menara itu akan mula dilaksanakan di kawasan itu secara berperingkat mulai tahun hadapan.

Menurutnya, berdasarkan rekod, terdapat sembilan menara telekomunikasi yang telah siap dibina dan sudah beroperasi di kawasan itu.

"Jadi, kita tambah enam lagi menara baharu bagi membolehkan rangkaian tidak mempunyai sebarang masalah. Malah, 32 alat pemancar sedia ada telah dinaik taraf kepada liputan 3G dan 4G.

"Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan menaik taraf 16 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada kepada 4G dan dijangka siap tahun 2022," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Ah Wong (BN-Cheka) berkenaan masalah rangkaian talian di kawasannya pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin meminta pelbagai pihak seperti wakil rakyat dan pemimpin setempat supaya dapat memaklumkan segera kepada SKMM jika di kawasan masing-masing mengalami masalah talian telekomunikasi.

Katanya, ini bagi memastikan tindakan berterusan dengan segera dapat dilaksanakan kerajaan Pahang bersama SKMM bagi mengatasi masalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama semua pihak amatlah diperlukan untuk kebaikan bersama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!