Pemimpin negara ucap takziah kepada keluarga Baharom

Antara pemimpin negara yang mengucapkan takziah atas pemergian Ketua Pengarang Siar Harian.
Antara pemimpin negara yang mengucapkan takziah atas pemergian Ketua Pengarang Siar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan pemimpin negara menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin yang meninggal dunia pagi tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehilangan Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan dan industri media di dalam negara.

"Secara peribadi, arwah yang saya kenali sejak beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang Kosmo merupakan seorang individu yang mudah didekati dan terkenal dengan sikapnya yang komited terhadap profesion sebagai pengamal media.

"Allahyarham akan sentiasa diingati sebagai seorang yang merendah diri, lembut berbicara dan senang untuk bekerjasama.

"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya menerusi sebuah hantaran di Facebook.

Kenyataan sama turut dikeluarkan oleh Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye yang menyifatkan pemergian Allahyarham bukan sahaja satu kehilangan besar kepada warga Sinar Harian, bahkan kepada dunia kewartawanan tanah air.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pagi tadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui hantaran di Facebooknya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan seluruh warga Sinar Harian pemergian Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah mengenali Allahyarham Datuk Baharom Mahusin agak lama.

“Allahyarham merupakan seorang yang mulia peribadinya dan amat profesional serta berkepimpinan tinggi,” katanya.

Hantaran Najib.
Hantaran Najib.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Dr Wan Azizah Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dalam ciapan di akaun Twitter milik mereka.

Dalam kenyataan sama, Anwar memberitahu bahawa beliau pernah ditemubual oleh Allahyarham di Parlimen tahun lalu.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham, dan semoga rohnya ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menzahirkan rasa dukacita apabila menerima perkhabaran tentang pemergian Allahyarham hari ini.

“Saya banyak terhutang budi kepada Allahyarham yang sering bantu memastikan liputan program dan kenyataan saya di Sinar Harian,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menerusi sebuah hantaran di Facebook juga meluahkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham hari ini dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menerusi ciapan di Twitter juga mengucapkan salam takziah atas pemergian Allahyarham awal pagi tadi.

“Semoga amalan baik Allahyarham diterima ALLAH SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Ucapan sama turut dizahirkan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi ciapan di Twitter.

“Menerima berita sedih mengenai kembalinya ke Rahmatullah Datuk Baharum Mahusin, Ketua Pengarang Sinar Harian.

“Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat ALLAH SWT serta dikurniakan husnul khatimah,” katanya.

Sebelum ini, Allahyarham dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke PPUM dua minggu lalu selepas sering mengadu di bahagian perut.

Difahamkan Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kira-kira jam 7.23 pagi tadi.

Allahyarham yang mula bertugas di Sinar Harian pada 1 April tahun lalu meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharom

Baharom berjaya angkat Sinar Harian ke tahap membanggakan: Hussamuddin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!