Fenomena ombak besar, bomba ingatkan jauhi pantai
KUALA NERUS - Orang ramai diingatkan untuk menjauhi pantai dan tidak melakukan sebarang aktiviti di air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang musim tengkujuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, cuaca yang tidak menentu dan fenomena ombak besar boleh mendatangkan risiko bagi pengunjung yang melakukan aktiviti air ketika ini.
Selain itu katanya, Terengganu juga berkemungkinan menerima tempias ekoran kejadian ribut taufan yang melanda Filipina dan Vietnam yang mengakibatkan laut bergelora dan ombak besar.
"Dalam keadaan ini, Terengganu mungkin akan terkena tempias, sebab itu kita harapkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mengambil kesempatan untuk mandi manda atau main di pesisir pantai pada musim ini.
"Sekarang ini bukan masanya untuk main air di pantai, sungai atau air terjun. Kita tak nak ada lagi kejadian lemas dan kehilangan nyawa akibat sikap tidak endah nasihat untuk jauhi aktiviti air," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan laut di Pantai Tanjung Gelam, di sini sempena Kempen Keselamatan di Air hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang musim tengkujuh Monsun Timur Laut (MTL) pada 2018, seramai 16 orang lemas di Terengganu manakala pada tahun lalu, seramai 12 orang dilaporkan meninggal dunia akibat lemas.
Justeru, pihaknya mengharapkan kerjasama orang ramai agar tiada lagi lagi kes lemas dilaporkan pada musim ini.
"Bagi menghadapi musim tengkujuh, seramai 835 pegawai dan anggota termasuk anggota bomba sukarela bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
"Kita juga mendapat bantuan daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur dalam operasi banjir dengan kekuatan 23 pegawai dan anggota, selain bantuan daripada JBPM negeri lain.
“Mengenai pembekuan cuti pula, hanya 20 peratus dibenarkan untuk bercuti sepanjang musim tengkujuh namun biasanya tidak ramai yang akan memohon cuti dalam tempoh berkenaan kerana faham dengan situasi banjir yang melanda negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!