'Luluh hati anak maut kena renjatan elektrik'

Norkamil dan isteri menunjukkan gambar kenangan arwah anak mereka yang maut selepas 23 hari bertarung nyawa akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kolej swasta pada 23 Oktober lalu.
Norkamil dan isteri menunjukkan gambar kenangan arwah anak mereka yang maut selepas 23 hari bertarung nyawa akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kolej swasta pada 23 Oktober lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang penuntut jurusan kejuruteraan kimpalan sebuah kolej swasta di Taiping, Perak yang maut terkena renjatan elektrik sepatutnya menamatkan pengajiannya pada November ini.

Bapanya, Norkamil Amran, 51, berkata, arwah anaknya, Muhammad Nadzaruddin, 18, perlu melanjutkan tempoh pengajiannya di peringkat sijil hingga Februari tahun depan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun katanya, luluh hatinya apabila anak ketiga daripada empat beradik itu akhirnya menemui ajal di Hospital Taiping pada 14 November lalu.

"Arwah bertarung nyawa selama 23 hari di Hospital Taiping dan kami berada di sisinya semasa dia menghembuskan nafas terakhir.

"Sepanjang berada di sana (Hospital Taiping), arwah tidak banyak menunjukkan reaksi, namun hati saya tersentuh apabila dia hanya mampu menitiskan air mata apabila kami memanggil namanya.

"Malah, saya sempat mengajarnya mengucap dan nampak mulut arwah sedikit terbuka seperti dia mengikut bacaan sebelum dia pergi buat selamanya," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas mengenai tragedi menimpa anaknya, Norkamil memberitahu, dia dihubungi pihak kolej pada kira-kira jam 11 pagi, 23 Oktober lalu.

Katanya, dia yang ketika itu berada di Sungai Besar kerana menjalankan kerja-kerja menukang rumah penduduk terus bergegas ke Hospital Taiping.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kolej memaklumkan kejadian berlaku semasa anak saya memanjat tangga dan tangannya terpegang besi kipas dinding yang mengandungi arus elektrik ketika sedang mengemas sebuah kelas di bangunan kolej berkenaan," katanya.

Norkamil yang menetap di Kampung Telok Piah, di sini berkata, Allahyarham Muhammad Nadzaruddin kemudian terus rebah dan dikejarkan ke Hospital Taiping.

"Laporan awal hospital mengesahkan keadaan jantung dan buah pinggang normal cuma arwah mengalami kerosakan pada bahagian otak.

"Saya terkejut dan berasa sedih ketika menerima berita berkenaan, perasaan itu masih dirasai hingga ke saat ini," katanya.

Katanya, Allahyarham Muhammad Nadzaruddin disifatkan seorang anak yang pendiam, baik hati dan penyayang.

"Arwah ada hasrat hendak membuka sebuah bengkel kimpalan selepas tamat belajar, namun semua itu tidak kesampaian," katanya.

Menurut Norkamil, arwah anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Piah kira-kira jam 10 pagi semalam.

"Saya reda dengan ketentuanNya dan berdoa agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!