Jangan main isu agama, perkauman
KUANTAN - Isu sensitif berkaitan agama dan perkauman yang sering dibawa Umno dan Pas mungkin menjadi faktor hampir 60 peratus orang Melayu tidak mempercayai Kerajaan PH menerusi kajian dibuat agensi perundingan, Ilham Centre bersama Penang Institute.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata ini merupakan fitnah yang diwujudkan oleh parti tersebut bagi mewujudkan perasaan fobia terhadap DAP kepada masyarakat.
Menurutnya, pihaknya melihat tindakan yang dilakukan oleh Umno dan Pas ini hanya bermatlamat untuk kepentingan politik dan bukan dilakukan demi mencapai keharmonian negara.
"Ramai percaya PH itu adalah DAP, di Cameron Highlands Umno dan Pas memfitnah mengatakan DAP hendak menghapuskan Institusi Raja-Raja dan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Ia adalah fitnah kerana DAP adalah sebahagian PH yang menjunjung Institusi Raja-Raja dan tidak pernah berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media ketika ditemui pada program serahan vaucer kepada golongan kurang berkemampuan di TMG Bandar Putra/Tanjung Lumpur di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 60 peratus Melayu tidak puas hati prestasi kerajaan
Fuziah berkata sepatutnya Pas lebih memikirkan isu rasuah dan hutang negara yang tinggi yang sebelum ini dilakukan oleh kerajaan Umno dan BN
Dalam pada itu, Fuziah turut menasihatkan supaya Umno dan Pas tidak memainkan isu tersebut kerana negara ini masyarakatnya berbilang bangsa dan taat kepada perlembagaan negara.
"Kita sepatutnya perlu berbangga kerana Malaysia merupakan rakyat yang berbilang bangsa dan agama namun mereka menjunjung dan mematuhi perlembagaan negara.
"Jangan rosakan reputasi ini supaya rakyat tidak salah faham..saya kira mereka tidak harus mempersoalkan kerana pemimpin dalam PH sentiasa mempertahankan Islam dan perlembagaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!