'Saya sayang dia tanpa syarat, reda pemergiannya'
KUALA LUMPUR - Lebih 25 tahun melayari rumah tangga, Isteri Allahyarham Datuk Baharom Mahusin menghadapi pemergian suami tercinta dengan begitu tenang.
Datin Noor Fuzana Yaakub, 53 berkata, dia bertuah kerana dipilih ALLAH SWT sebagai insan yang dapat hidup bersama arwah.
"Saya sayang dia tanpa syarat. Tak ada perkara terbaik lain yang saya mahu minta. Namun saya bersedia (kehilangan)..ajal maut kita kan ALLAH SWT dah tentukan.
"Dia tu macam 'mukjizat' bagi saya. Macam tulah orangnya. Suka berbuat baik dengan manusia. ALLAH SWT bagi saya rezeki sekejap dengannya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pada masa sama, Noor Fuzana turut menyifatkan suaminya itu sebagai seorang yang amat dedikasi dan mempunyai jiwa yang luar biasa terhadap kerjayanya dalam dunia kewartawanan.
"Saya ada bersama arwah sepanjang beliau menerima rawatan dalam wad di PPUM, dan 'most of time' beliau berada dalam keadaan separuh sedar kerana doktor 'sedated him'.
“Masa Tan Sri Johan Jaafar (Tokoh Wartawan Negara 2019) mahu hantar artikel dia yang sudah 'due', suami masih ingat untuk dimajukan dekat pengarang (Sinar Harian) walaupun ketika itu beliau on drugs (rawatan), his 'intellingence' dia itu 'amazing' bagaimana dia masih boleh ingat,” katanya.
Noor Fazura berkata, Allahyarham seorang aktif semasa hayatnya dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik sehinggalah dimasukkan ke hospital dua minggu lalu.
Katanya, dia berada di sisi suaminya itu ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.
"Setiap hari saya bersama arwah, walaupun hanya sejam dibenarkan masuk, apabila dengan saya dia kelihatan tenang dan genggam tangan sambil menganggukkan kepala (ketika berkomunikasi).
"Kalau jumpa anak perempuan dia akan angkat tangan," katanya.
Allahyarham Baharom menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 7.23 pagi tadi akibat kegagalan fungsi organ.
Jenazah telah selesai disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, KL- Karak kira-kira jam 3 petang tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia
Pemimpin negara ucap takziah kepada keluarga Baharom
Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharom
Baharom berjaya angkat Sinar Harian ke tahap membanggakan: Hussamuddin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!