LTdL 2021 dibatalkan
TEKA-teki tentang nasib Le Tour de Langkawi 2021 (LTdL 2021) akhirnya terjawab apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) mengesahkan perlumbaan elit di Asia itu dibatalkan penganjurannya dan akan dianjurkan semula pada 2022.
Presiden MNCF, Datuk Abu Samah Wahab mengesahkan perkhabaran tersebut dan menjelaskan keputusan berkenaan dicapai secara bulat suara ketika mesyuarat khas melibatkan pelbagai pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurut Abu, MNCF selaku pemegang hak penganjuran LTdL, akan memberi penjelasan terperinci kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan kadar segera bagi memudahkan semua pasukan yang telah menerima jemputan untuk membuat tindakan susulan.
“Saya ingin mengesahkan bahawa keputusan untuk membatalkan Le Tour de Langkawi 2021 telah dicapai secara bulat suara semalam (kelmarin).
“MNCF bersetuju dengan keputusan ini. Begitu juga KBS. Saya berpendapat inilah keputusan terbaik untuk semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan keputusan tersebut dicapai memandangkan masa sangat suntuk untuk semua pihak melakukan persiapan rapi rentetan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini.
“Keputusan untuk membatalkan Sukma 2021 juga telah dibuat. Jadi, adalah lebih baik kalau keputusan untuk membatalkan Le Tour de Langkawi 2021 turut dilakukan. Saya harap keputusan ini baik untuk semua pihak,” katanya.
Beliau turut mendedahkan ada percubaan oleh pihak tertentu untuk menganjurkan LTdL 2021 pada September 2021 namun ia berdepan jalan berliku termasuk kesukaran bagi mendapatkan tarikh penganjuran daripada UCI.
“Secara kebetulan, Jelajah Malaysia 2021 juga akan diadakan pada September. Jadi agak sukar untuk mendapatkan tarikh sesuai untuk Le Tour de Langkawi 2021. Apabila ini timbul, pengurus acara sukar untuk mendapatkan penyertaan pasukan elit dunia,” katanya.
Sebelum ini ramai pihak termasuk kelab benua terkenal negara ini dan Asia menyuarakan keresahan tentang penganjuran LTdL 2021 dan yang mencadangkan ia ditunda demi kebaikan bersama.
Bagaimanapun, Abu Samah percaya keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 dan menganjurkannya pada 2022 satu tindakan pragmatic yang bersesuaian dengan suasana terkini di Malaysia dan di seluruh dunia.
“Ada banyak perkara yang mesti difikirkan oleh semua pihak termasuk MNCF dan KBS. Saya percaya UCI akan menerima penjelasan kami kerana ia dicapai dan diputuskan berdasarkan suasana yang sangat mendesak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!