Pelitawanis TNB sumbang 25 mesin dialisis
KUALA LUMPUR - Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB) menyumbangkan mesin dialisis bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang di hospital dan pusat dialisis seluruh negara.
Sumbangan yang dikumpul daripada syarikat dan individu itu meliputi 25 unit mesin dialisis membabitkan 24 unit untuk hospital dan pusat dialisis di Semenanjung Malaysia, manakala satu untuk Sabah.
Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu berkata, mesin berkenaan mula diserahkan sejak awal September lalu bermula di Klang, Selangor dan terakhir di Kulim, Kedah.
“Pelitawanis TNB memilih untuk menyumbang mesin dialisis kerana memahami jumlah pesakit yang memerlukan rawatan semakin meningkat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
“Usaha ini bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan khususnya golongan B40 agar berpeluang menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Aidah berkata, dana sama turut digunakan untuk membantu badan kebajikan lain termasuk Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menerima RM100,000 serta projek dapur terpusat untuk Autism Cafe Project sebanyak RM50,000.
“Sumbangan sebanyak RM12,000 juga diberikan kepada 'Make A Wish Malaysia' untuk memenuhi hasrat kanak-kanak yang menghidapi penyakit leukemia.
“Pada Jun lalu, Pelitawanis TNB berjaya mengumpulkan lebih RM1 juta lagi dana sumbangan pengurusan dan warga kerja TNB.
“Lebih 80 peratus dana terkumpul digunakan untuk membantu golongan B40 dan rumah-rumah anak yatim, manakala selebihnya bagi petugas barisan hadapan, pusat penjagaan warga emas dan pelajar-pelajar yang terkandas di pusat pengajian tinggi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!