Ulama mendoakan Prabowo menang pilihan raya dalam majlis dihadiri Jokowi

Maimun (tengah) tersilap menyebut nama Prabowo ketika membacakan doa penutup pada majlis zikir dihadiri Jokowi di Rembang, Jawa Tengah, semalam.
Maimun (tengah) tersilap menyebut nama Prabowo ketika membacakan doa penutup pada majlis zikir dihadiri Jokowi di Rembang, Jawa Tengah, semalam.
A
A
A

KOTA SEMARANG - INDONESIA. Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi menerima kejutan pada penghujung acara sebuah majlis keagamaan di Jawa Tengah, semalam.

Ia selepas seorang ulama tersilap menyebut nama Prabowo Subianto ketika membacakan doa penutup pada majlis zikir di Pondok Pesantren Al-Anwar di Rembang.

Kejadian itu dirakam dan tersebar di media sosial.

Dalam video tersebut, Kiai Maimun Zubair mendoakan Prabowo menang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) April ini.

Jokowi ketika itu duduk di sebelah ulama berkenaan.

Maimun kemudian dihampiri Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan Muhammad Romahurmuziy selepas bacaan doa berkenaan.

Ulama berkenaan kemudian kembali berdoa seperti memperbetulkan bacaan doa sebelumnya.

Selepas majlis berakhir, Maimun memohon maaf kepada Jokowi kerana tersilap menyebut nama pesaingnya.

Artikel Berkaitan:

"Maaf kerana tersilap, maklumlah saya sudah tua. Yang ada bersebelahan saya tidak lain tidak bukan adalah Jokowi," kata Maimun.

Sementara itu, video dengan tanda pagar #KyaiMaimoenDoakanPrabowo menjadi trending dan bualan pengguna media sosial. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!