Covid-19: Peningkatan kes di Lembah Klang berkaitan tempat kerja

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri-negeri di Lembah Klang sejak kebelakangan ini adalah disebabkan oleh peningkatan kes berkaitan dengan tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini berikutan ketiga-tiga negeri (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya) adalah pusat tumpuan warga pekerja. Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja, termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru pihak majikan memainkan peranan lebih besar untuk bersama menangani penularan Covid-19 dalam negara.

“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja, misalnya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri, dan juga persekitaran di tempat tinggal, serta tempat kerja. Isu penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara adalah merupakan isu penting yang perlu ditangani,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, antara tindakan yang boleh diambil pihak majikan adalah memberi pendidikan kepada para pekerja tentang amalan kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal, serta langkah pencegahan.

“Tindakan lain adalah menyediakan penginapan kondusif untuk memastikan penjarakkan fizikal diamalkan serta memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan oleh pekerja di tempat kerja dan tempat penginapan mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!