30 peratus 'mat gian' terlibat jenayah
RANTAU PANJANG - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan kira-kira 30 peratus 'mat gian' di negara ini terlibat dengan perlakuan jenayah.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, perlakuan jenayah tersebut melibatkan kes mencuri harta benda untuk membeli dadah.
"AADK mengambil serius perkara ini dan kita mahu langkah awal diambil bagi mencegah perkara itu daripada menjadi lebih serius," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Papan Tanda Kempen Pencegahan Dadah di Masjid Beijing di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, Timbalannya, Senior Asisten Komisoner Abdullah Mohamad Piah dan Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad.
Menurutnya, AADK tidak menolak kemungkinan faktor kewangan menjadi punca kepada perlakuan jenayah itu dengan tujuan membeli dadah.
Zulkifli berkata, pihaknya menjangkakan peringkat permulaan 'mat gian' ini mempunyai sumber kewangan tertentu untuk membeli bahan terlarang itu sebagai contoh pemberian keluarga atau bekerja.
"Namun tiba-tiba dia diberhentikan kerja atau keluarga sudah tidak sanggup (bila dapat tahu ambil dadah), jadi sebab itu mereka terlibat dengan jenayah," katanya.
Justeru, Zulkifli menyeru seluruh komuniti supaya sentiasa berganding bahu dalam membanteras penyalahgunaan dadah.
"Penguatkusaan dan merawat pulih perlu bergerak secara bersama, baharulah masalah dadah ini dapat kita selesaikan secara konkrit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!