MCW puji ketegasan Ketua Polis Negara

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) merakamkan ucapan tahniah setinggi-tinggi tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertegas mengambil tindakan ke atas anggotanya yang terlibat dengan jenayah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pujian harus diberikan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang berani mengambil tindakan terhadap lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan polis yang disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

“MCW difahamkan bahawa semua anggota yang terlibat telah ditukar dalam satu proses rombakan besar-besaran PDRM baru-baru ini.

“Malah, lanjutan daripada isu tersebut bakal ada lagi anggota-anggota yang akan diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid dalam satu kenyataan semalam berkata, langkah menukarkan anggota dan pegawai terbabit adalah tindakan pertama pihaknya dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang bersekongkol dengan penjenayah.

Tindakan pertama yang dilakukan beliau ialah menukarkan anggota dari tempat yang sensitif dan langkah berikutnya ialah sekiranya ada bukti lain mereka akan diambil tindakan keras yang selanjutnya.

Kes membabitkan pegawai kanan polis itu dikesan susulan penahanan beberapa selebriti dan usahawan kosmetik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengubah atau mencuci wang haram daripada sindiket Macau Scam dan pengendali judi dalam talian.

Sementara itu, Jais berkata, MCW memuji langkah berkenaan kerana dapat membuktikan bahawa PDRM tidak akan bertolak ansur dengan anggota yang tidak amanah dan mengkhianati tanggungjawab sebenar sebagai penjaga keamanan negara.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu anggota polis menyalahgunakan kedudukan, menipu dan mengambil kesempatan terhadap masyarakat umpama 'harapkan pegar, pegar makan padi'.

“Justeru, MCW menggesa agar PDRM membuat operasi besar-besaran untuk mengenalpasti semua anggota yang bersekongkol dengan sindiket dan penjenayah seperti ini.

"PDRM perlu melaksanakan proses pemutihan dengan segera agar dapat membersih dan memulihkan imej integriti demi mengembalikan keyakinan serta kepercayaan tinggi rakyat terhadap kredibiliti PDRM secara keseluruhannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!