Tewas dengan kesedapan dunia
BARU-BARU ini heboh kembali dalam media apabila pegawai KPDNHEP menyerbu sebuah premis makanan kerana dilaporkan menyediakan daging babi dalam hidangan masakannya.
Meskipun syarikat tersebut telah menafikan dan pihak kementerian masih membuat pemeriksaan makmal, namun ia tidak menghentikan ramai pengguna Muslim memperkatakan hal itu di media sosial.
Kini terdapat lebih 20 kumpulan Facebook mengenai Buy Muslim First (BMF). Pantang ada berita begini, netizen kumpulan-kumpulan itu akan terus komen dan kongsi hingga melimpah ke dalam Twitter, Telegram dan kumpulan WhatsApp pula.
Ia menggambarkan kian ramai pengguna Muslim yang peka dengan apa yang mereka makan meskipun terdapat lebih ramai lagi yang tidak ambil perhatian dengan apa yang mereka ambil.
Makanan dan minuman adalah keperluan asas manusia sejak zaman batu lagi apabila mereka memburu binatang untuk makanan. Kemudian manusia pandai membakar makanan dan akhirnya mereka boleh berbuat apa sahaja untuk menyedapkan tekak. Mereka pandai menyalai, mengukus, merebus dan menggoreng pula.
Semakin manusia bertamadun, makanan bukan sekadar ditelan untuk hidup. Malah ia menjadi alat merapatkan silaturahim, sebagai upacara utama dalam keraian dan cara mempamerkan prestij. Dalam apa jua majlis pada hari ini, jamuan makan menjadi antara acara yang mesti ada.
Makanan dari sudut biologinya memberi kita pelbagai zat. Makanan mi sup daging misalnya akan memberi kita zat karbohidrat yang memberi kita tenaga dan zat protein untuk otot serta kalsium untuk tulang. Semua ini akan menjadi bahan tumbesaran dan pertahanan tubuh.
Bagaimanapun, makanan yang memberi kita khasiat dari sudut biologi tidak semestinya memberi khasiat kepada roh. Makanan yang haram seperti babi, darah dan bangkai akan merosak roh. Larangan inilah yang menjadi hukum dalam Islam.
Namun entah mengapa, makanan tidak diambil berat sebagai sesuatu yang penting meskipun ia kena mengena dengan penjagaan iman.
Prestij
Seseorang itu dikatakan seorang Muslim yang baik sekiranya dia menunaikan solat lima waktu, rajin berpuasa, berzakat, bersedekah dan menginfaq hartanya. Dia menjaga kebersihan tubuh, rumah tangga, pakaian, ruang solatnya dan juga amat menjaga wuduknya. Tetapi ia tidak lengkap seandainya dia tidak menjaga apa yang dia makan.
Ramai dalam kalangan umat Islam di negara kita tidak ambil perhatian di mana mereka makan. Asal nampak pekerja restoran yang bertudung, asal nampak tanda halal, asal nampak ramai para pelanggan bertudung dan bersongkok berkunjung untuk menjamu selera, mereka terus duduk dan memesan makanan.
Mereka juga mudah sangat percaya kepada label dan cop pada bahan makanan tanpa rasa mahu memeriksa. Apa jua cop halal walaupun dengan tulisan jawi yang ketot-metot pun mereka percaya dengan yakin bahawa apa yang terkandung di dalam bungkusan adalah halal. Kadangkala, mereka tidak pedulikan itu semua lebih-lebih lagi jika ia barangan import seperti coklat dan gula-gula. Asalkan sedap, mereka ketepikan halal dan haramnya.
Mereka juga kalah apabila dikaburi dengan iklan produk-produk makanan. Sebagai pengguna mereka terpengaruh dengan iklan yang dipaparkan hingga bertindak untuk membeli makanan yang iklankan. Yang penting mereka hendak merasa apa yang diiklankan kerana ia menjadi kegilaan ramai.
Setelah mencuba, mereka tidak lagi mahu ketinggalan untuk terus mendapatkan produk itu semata-mata kerana tidak mahu ketinggalan. Banyak gula dan banyak lemak adalah formula bisnes untuk menimbulkan ketagihan makan kerana keenakannya.
Manusia begini seolah-olah sudah tewas dengan kelazatan dunia. Mereka tidak pernah tepuk dada, tanya iman!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!