Trafik jalan utama di Perak lancar
IPOH - Tiada lagi sebarang kesesakan lalu lintas luar biasa berlaku di kesemua jalan utama di Perak termasuk Lebuhraya Utara Selatan dari kedua-dua arah setakat jam 5.30 petang ini.
Bagaimanapun, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Deputi Superintendan Abd Aziz Abd Rahman menegaskan keadaan lalu lintas dari sepanjang Kilometer 367.6 hingga Kilometer 360.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara masih bergerak perlahan pada skala 3/4.
Menurutnya, terdapat laluan kecemasan yang dibuka lokasi tersebut sejak jam 12 tengahari tadi turut ditutup sebentar tadi.
"Skala 3/4 itu bermakna kenderaan kini bergerak dalam keadaan perlahan, namun tidak melekat terus di laluan 'bottle-neck' Sungkai," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Abd Aziz berkata, bagi keadaan laluan Jalan Persekutuan, sehingga kini tiada berlaku sebarang kesesakan kenderaan di mana-mana laluan itu sepanjang negeri Perak.
Menurutnya, trafik pada Jalan Persekutuan bergerak lancar dengan keseluruhannya pada skala 1-3.
"Pengguna jalan raya disaran merancang perjalanan dengan lebih efektif bagi mengelakkan terbabit dengan sebarang kesesakan lalu lintas sama ada di Jalan Persekutuan atau Lebuhraya Utara Selatan.
"Polis Perak turut menjangkakan sepanjang tempoh Op Lancar dilaksanakan bermula 1 hingga 4 Februari akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan saban hari, sekali gus mengundang kemungkinan berlaku kesesakan trafik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!