Petronas Yamaha SRT dipilih The Best Independent Team
PRINSIPAL Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mengakui berbangga dengan pencapaian pasukan berkenaan yang muncul selaku The Best Independent Team dalam kejuaraan Grand Prix (GP) dunia kali ini.
Razlan berkata, kejayaan berkenaan tambah bermakna buat Petronas Yamaha SRT apabila dicapai dalam tempoh yang singkat iaitu kurang daripada dua tahun penyertaannya dalam kejuaraan GP dunia.
Malah menurut Razlan sebagai anak Malaysia dia cukup berbangga kerana dapat memimpin pasukan Malaysia dalam saingan MotoGP kali ini.
"Syukur alhamdulillah, minggu lalu kita telah menang untuk The Best Independent Team buat kali kedua berturut-turut. Bagaimanapun, sedikit kecewa kerana kita gagal bersaing untuk Kejuaraan Pelumba Dunia (World Rider Championship).
"Kita mendahului sejak awal musim tetapi pelumba kita Fabio Quartararo kecundang dalam dua perlumbaan sebelum ini," katanya menerusi satu kenyataan media, malam tadi.
Sementara itu, Razlan berkata, pihaknya cuba menetapkan kedudukan kedua pasukan secara keseluruhannya bagi pusingan terakhir (GP Portugal) di Litar Antarabangsa Algarve hujung minggu ini.
Malah katanya, pihaknya juga akan cuba menetapkan kedudukan bagi pelumba bagi kejuaraan pelumba.
"Pelumba kami minggu ini adalah antara Fabio (Quartararo) dan Frankie (Franco Morbidelli).
"Oleh itu, kami akan tetap akan mencuba menamatkan perlumbaan pada kedudukan kedua selain cuba tetapkan kedudukan kedua pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!