Juwaidi akui perlu masa kembali ke tahap terbaik
PEMANAH berpengalaman, Mohd Juwaidi Mazuki mengakui perlukan masa untuk kembali berada pada tahap prestasi terbaik, lebih-lebih lagi apabila terikat dengan komitmen lain selain daripada menjalani latihan selaku atlet kebangsaan.
Pemenang pingat emas acara compound berpasukan lelaki Sukan SEA 2019 di Filipina itu kini bukan sahaja menjadi jurulatih memanah Sukan Malaysia (Sukma) Melaka, malah beliau turut 'sibuk' menguruskan perniagaan peralatan memanah yang diusahakan sejak enam tahun lepas di Alor Gajah, Melaka.
"Keadaan sekarang agak sukar. Latihan pun tidak boleh buat sepenuh masa sebab ada komitmen lain. Saya sekarang tumpu kepada perniagaan peralatan memanah, nak teruskan kehidupan kerana keadaan sekarang tidak berapa bagus.
"Hujung minggu pula, saya melatih atlet Sukma. Bukannya saya tidak cergas, tetapi kena berlatih secara sepenuh masa untuk kembalikan ketahanan badan seperti sebelum ini," katanya kepada Bernama.
Seperti atlet Malaysia yang lain, beliau turut terkesan apabila tidak dapat menyertai sebarang kejohanan tahun ini akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Mohd Juwaidi yang berlatih secara sendiri dan berpangkalan di Melaka berkata beliau, hanya memerlukan latihan sepenuh masa selama sebulan untuk kembali pada prestasi terbaiknya jika perlu menyertai sebarang kejohanan pada masa akan datang.
"Tidak susah untuk prestasi saya kembali seperti biasa. Saya perlu bijak membahagikan masa antara perniagaan, latihan dan perkara lain," katanya.
Mengulas mengenai persediaan skuad memanah Melaka bagi Sukma Johor, Mohd Juwaidi berkata, pada masa ini, latihan berjalan seperti biasa walaupun temasya sukan itu akan berlangsung pada 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!