Johor lantik pelajar tahfiz Marsah jadi imam
SIMPANG RENGGAM - Kerajaan Johor akan melantik pelajar tahfiz lepasan Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) sebagai imam di masjid kariah yang terpilih di seluruh negeri ini pada penghujung tahun ini.
Exco Hal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan berkata, pada peringkat awal seramai 50 pelajar tahfiz yang akan menamatkan pengajian mereka di Marsah pada tahun ini akan ditempatkan di setiap daerah sebagai imam muda.
“Masjid kariah terpilih ini akan menerima sekurang-kurangnya lima imam muda yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan boleh membantu mengimarahkan lagi masjid dengan program kerohanian seperti kelas agama, mengaji dan bacaan kitab.
“Lantikan ini akan dibuat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan kita mengharapkan dengan adanya imam muda ini nanti akan menyemarakkan lagi budaya ilmu dan syiar Islam di kariah tersebut sekali gus dapat mengawal gejala-gejala yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Sekolah Agama Sri Tengah Renggam yang turut dihadiri Ketua Amanah Kawasan Simpang Renggam juga Adun Mahkota, Mohd Said Jonit dan Ketua Kampung Tengah Renggam, Mohamad Rafiee Saiman, semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri juga menyasarkan untuk meningkatkan bilangan penghafaz al-Quran di negeri ini sekurang-kurangnya 30 orang setahun iaitu daripada 620 kepada 650 orang dan yakin jumlah tersebut dapat dicapai dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau tidak menerima sebarang laporan bahawa elaun ‘Ithbat’ iaitu elaun bagi penghafaz al-Quran yang ditemu duga dan melalui ujian saringan oleh MAIJ sering terlewat seperti dakwaan Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman, baru-baru ini.
“Kalau betul ada kelewatan pembayaran, mungkin ada beberapa masalah seperti isu teknikal dan kebiasaannya kalau tertangguh, pasti ada sebarang maklumat yang disampaikan kepada saya oleh pihak bertanggungjawab.
“Setakat ini, apabila kita mengumumkan peningkatan untuk penarafan pelajar tahfiz, ini bermakna perbelanjaan itu memang sudah ada dan lagipun tidak ada sebab untuk pembayaran itu tertangguh kerana duit yang digunakan ialah duit MAIJ,” katanya.
Sementara itu, Aminolhuda berkata, isu kebajikan guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) di negeri ini akan dibawa ke peringkat Kerajaan Pusat terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya mendapat pembelaan dan perhatian sewajarnya.
Menurutnya, antara isu yang dihadapi guru-guru Kafa adalah ketiadaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) sehingga menyebabkan kebajikan mereka terabai jika mengalami kemalangan atau kecederaan.
“Perkara ini (caruman) bagi saya bukan sekadar untuk guru-guru Kafa di negeri ini sahaja, bahkan di seluruh negara kerana elaun mereka dibayar Kerajaan Pusat melalui JAKIM dan kalau hendak buat, lebih bagus diselaraskan kerana ini adalah isu nasional.
“Jadi, dalam hal ini kita kena bincang dengan JAKIM dan perkara ini memang baik kerana jika berlaku kemalangan atau kecederaan, mereka akan mendapat pampasan atau skim perlindungan sama seperti pekerja lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!