Tiga laluan diberi tumpuan di Perak
IPOH - Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh akan memberikan tumpuan kepada tiga laluan utama lebuh raya di negeri ini demi memastikan keselamatan orang ramai sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, lebuh raya berkenaan melibatkan dari Simpang Pulai hingga ke Terowong Menora sejauh 32km, Simpang Pulai ke sempadan Cameron Highlands 22km dan Jelapang Ipoh - Lumut hingga ke sempadan Batu Gajah, sejauh 20km.
Malah katanya, polis turut menempatkan seramai lima pegawai serta 55 anggota dalam usaha meningkatkan penguatkasaan berhubung enam kesalahan utama yang merujuk kepada memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon ketika memandu, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi lampu.
"Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kita nak pastikan semua pemandu memandu dengan selamat dan berhemah dengan mematuhi peraturan jalan raya.
"Kita juga harap mereka selamat sampai ke destinasi masing-masing," katanya.
Mohd Ali berkata demikian pada sidang media sempena kempen Keselamatan Jalan Raya 2019 bersempena Tahun Baharu Cina anjuran Jemaah Jaksa-Jaksa Pendamai Perak bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan (Ampang), petang tadi.
Sempena kempen berkenaan, 600 bag berisi beberapa barangan seperti risalah keselamatan, limau mandarin dan air diagihkan kepada pengguna lebuh raya di plaza tol berkenaan oleh petugas terlibat.
Difahamkan, kempen berkenaan telah disempurnakan Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Abdul Wahab Azizul Hassan yang turut sama membantu menyampaikan barangan berkenaan.
Sementara itu Abdul Wahab yang juga Yang Di-Pertua Jaksa-Jaksa Pendamai Negeri Perak berharap agar kempen berkenaan dapat memberikan kesedaran serta mendidik orang ramai untuk memandu dengan lebih berhati-hati.
"Kita juga mendoakan agar kemalangan jalan raya akan berkurangan kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!