Warga Indonesia dibayar RM1,500 jaga premis judi
PUCHONG - Menyediakan rumah teres dua tingkat di Bandar Puchong Jaya, selain menggajikan wanita warga Indonesia untuk menjalankan kegiatan perjudian online akhirnya terbongkar selepas premis itu diserbu polis, semalam.
Serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor itu dijalankan kira-kira jam 5.30 petang hasil maklumat dan risikan.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, serbuan Op Dadu itu berjaya menahan lima wanita warga Indonesia berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun.
"Soal siasat mendapati salah seorang wanita terbabit berperanan sebagai penjaga.
"Kesemua mereka ini dipercayai menerima bayaran RM1,500 sebulan oleh sindiket untuk melakukan kegiatan perjudian online. Rumah teres terbabit beroperasi sebagai pusat panggilan dengan menggunakan komputer riba," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, sebanyak sembilan website perjudian telah dikesan membabitkan sindiket yang telah beroperasi sejak September lalu.
Mengulas lanjut, Zuhairee berkata, semasa serbuan dilakukan, pihaknya mendapati rumah terbabit dilengkapi pintu besi selain kamera litar tertutup (CCTV) dan kutipan harian sindiket terbabit dianggarkan sebanyak RM500 hingga RM1,000.
Dalam operasi berasingan, pada hari yang sama kira-kira jam 8.30 malam, sebuah restoran di Selayang Baru, Selangor turut digempur kerana menjalankan kegiatan perjudian online.
"Seramai tiga individu termasuk seorang wanita Indonesia telah ditahan dengan rampasan telefon bimbit dan wang tunai.
"Kegiatan ini dijalankan dengan menyasarkan pelanggan restoran sebagai pemain judi terbabit," katanya.
Zuhairee berkata, kesemua tangkapan terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan IPD Gombak untuk siasatan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!