Soalan MQT boleh dijawab secara lisan mulai esok
KUALA LUMPUR - Mulai esok, menteri akan kembali menjawab soalan secara lisan tetapi tanpa soalan tambahan bagi sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dan Khamis Persidangan Dewan Rakyat.
Usul mengenai perkara itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini dan usul itu kemudian diluluskan.
“Tanpa menghiraukan usul terdahulu berkenaan sesi pertanyaan menteri pada 5 November lepas dan berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 90(2) dan persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, saya mengemukakan usul menghentikan kuat kuasa peraturan mesyuarat 24(5A), 24A (5) dan 24A (7).
“Ini bagi membolehkan sesi pertanyaan menteri (MQT) dipendekkan kepada 10 minit iaitu ahli yang mengemukakan pertanyaan akan dipanggil membaca soalan dan jawapan akan diberi menteri tanpa soalan tambahan mulai esok hingga 15 Disember,” katanya ketika mengemukakan usul itu.
Pada 5 November, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memutuskan jawapan menteri untuk sesi itu akan diberi secara bertulis dan dimuat naik ke laman web Parlimen selepas Persidangan Dewan Rakyat dipendekkan dari jam 10 pagi hingga 2 petang untuk mengehadkan risiko jangkitan koronavirus (Covid-19).
Sebelum ini, sesi pertanyaan-pertanyaan menteri yang berlangsung selama lima minit mulai 10 pagi, ahli-ahli Parlimen akan membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawabnya.
Takiyuddin menjelaskan, usul itu dibuat berdasarkan cadangan yang dikemukakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) semalam yang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat membenarkan menteri menjawab soalan secara lisan ketika sesi itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!