SPR perlu sedia SOP lebih ketat untuk tiga PRK

Armada Pulau Pinang saran SPRM sediakan prosedur SOP lebih ketat jika berlaku pertandingan dalam tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan nanti.
Armada Pulau Pinang saran SPRM sediakan prosedur SOP lebih ketat jika berlaku pertandingan dalam tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan nanti.
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sekiranya berlaku pertandingan dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan nanti.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pulau Pinang, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman berkata, langkah itu perlu bagi memastikan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dikawal terutama sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi.

Menurutnya, apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini perlu dijadikan pengajaran kerana ia menjadi salah satu punca peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini sehingga merebak ke negeri lain.

"Kita tidak ada undang-undang yang boleh menghalang mana-mana parti untuk meletakkan calon walaupun dalam keadaan negara sedang berdepan dengan pandemik ini.

"Walaupun parti-parti besar sebelum ini ada yang mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon, namun kita tidak boleh menghalang sekiranya ada yang mahu bertanding sebagai calon bebas kerana demokrasi tetap perlu kita raikan," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian beberapa parti yang tidak meletakkan calon pada PRK berkenaan.

Muhammad Shameer (kanan) menyampaikan pek makanan kepada petugas di Hospital Pulau Pinang di Georgetown hari ini.
Muhammad Shameer (kanan) menyampaikan pek makanan kepada petugas di Hospital Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Sebelum ini Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRK Parlimen Batu Sapi manakala, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa parti lain tidak meletakkan calon untuk melawan UMNO di Parlimen Gerik.

Artikel Berkaitan:

PRK Parlimen Batu Sapi, Sabah diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu dan PRK Parlimen Gerik bakal diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia di Raub, Pahang Isnin lalu akibat sakit jantung.

Sementara itu, satu lagi PRK dijangka akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya berikutan penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Sabah semalam selepas menderita penyakit buah pinggang.

Terdahulu Muhammad Shameer menyampaikan sumbangan sebanyak 100 pek makanan kepada petugas barisan hadapan di hospital berkenaan sebagai tanda menghargai peranan mereka dalam mendepani wabak Covid-19 sejak awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng saran hanya UMNO letak calon di Gerik

Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia

Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia

ADUN Bugaya meninggal dunia sakit buah pinggang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!