Pengurusan zakat Kedah diperakui dunia

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah menyasarkan kutipan zakat mencecah RM220 juta tahun depan berdasarkan kutipan semasa yang memberangsangkan selain didokong sistem pengurusan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang diperakui dunia.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, LZNK mengorak langkah apabila Kedah menjadi pusat rujukan zakat dunia di mana beberapa buah negara seperti Thailand, Nigeria, Uganda, Ghana, dan Indonesia mengikuti program Kedah International Zakat Academy (KEIZA).

Menurutnya, melalui pusat kecemerlangan zakat bertaraf dunia ini, pihaknya berharap dapat menarik pihak luar termasuk pelaburan ke Kedah.

“Kedah bukan negeri yang kaya, pengurusan dan sistem kutipan dan agihan zakat Kedah antara yang terbaik, kita banyak padi yang perlu dibayar zakat yang mendatangkan banyak kutipan hasil selain zakat pendapatan.

"Melalui pusat kecemerlangan zakat bertaraf dunia KEIZA, diharap dapat menarik pihak luar datang ke Kedah seterusnya menjayakan agenda kerajaan negeri menjadikan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) sebagai 'Cordoba of Kedah',” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, bagi tahun 2017 sebanyak RM159.4 juta wang zakat telah diagihkan manakala 2018 sebanyak RM179.08 juta diagihkan dengan peningkatan sebanyak RM20 juta.

“Kutipan meningkat sebanyak RM15 juta pada tahun 2019 yang menyaksikan agihan zakat sebanyak RM194.9 juta. Peningkatan ini antaranya disumbangkan oleh kesedaran orang ramai membayar zakat selain sistem kutipan zakat yang efektif sehingga agihan meningkat setiap tahun antara RM15 juta hingga RM20 juta,” katanya

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, LZNK menyumbangkan hampir 30.5 peratus kepada dasar fiskal daripada keseluruhan hasil negeri Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Kita akui LZNK antara sektor penting dalam operasi pengurusan negeri yang perlu kita perkasakan. Malah hasil zakat saban tahun diagihkan melalui pelbagai skim yang diwujudkan, seperti kesihatan, makanan, pendidikan, barisan hadapan, sukarelawan dan usahawan serta penjaja kecil seluruh negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, sehingga Oktober, LZNK membantu seramai 19,561 asnaf di negeri ini yang menerima bantuan kewangan tunai secara bulanan dengan peruntukkan melebihi RM34.9 juta.

“Itu belum termasuk 86 rumah yang dibina dan 110 rumah dibaiki pada tahun ini, dengan peruntukan RM6.48 juta. Manakala bagi tahun 2019, sebanyak 137 rumah dibina dan 348 rumah dibaiki oleh LZNK dengan belanja RM14.16 juta,” katanya.

Tambahnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, LZNK telah membelanjakan lebih RM12.87 juta untuk peruntukan kecemasan khas zakat yang disalurkan dalam pelbagai sektor.

Muhammad Sanusi turut mengingatkan agar peniaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berbincang secara berhemah untuk memastikan pelaksanaan 'Kawasan Bebas Berniaga' yang akan dilancarkan minggu depan.

“Saya ingin nasihatkan peniaga agar ikut peraturan PBT masing-masing kerana mereka (PBT) yang akan susun atur lokasi niaga bagi mengelak kesesakan atau gangguan lalu lintas. Hanya perniagaan yang sesuai dan tidak membahayakan dibenarkan.

"Peniaga hanya perlu mohon permit sementara RM10 daripada PBT di lokasi dicadangkan dan diharap dasar baharu ini dapat membantu rakyat Kedah menjana pendapatan selain merancakkan semula aktiviti ekonomi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!