Isu KFA hangatkan Dewan
ALOR SETAR - Isu berkaitan Tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menghangatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila terdapat percanggahan maklumat antara pengurusan baharu dan terdahulu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan penyata kewangan KFA, jumlah kutipan hanya RM10,411 bukannya RM50,000 seperti didakwa bekas Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris.
Menurutnya, maklumat berkaitan itu dicatatkan dalam minit mesyuarat kongres KFA ke-44 tahun 2019 yang dipengerusikan presiden ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Kita ada fakta dan butiran berkenaan sumbangan yang dikutip untuk tabung CAS KFA itu, yang digunakan bagi menampung kos guaman perbicaraan kes Akhyar Rashid di Switzerland. Namun tidak mencukupi dan KFA terpaksa tanggung kos tambahan,” katanya pada sidang media selepas persidangan DUN Kedah ditangguhkan hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Presiden KFA berkata, pihaknya tidak pasti sama ada jumlah yang disebut Mohd Asmirul adalah anggaran atau fakta.
“Itu tak pastilah, adakah umum RM50,000 hanya untuk bagi gambaran pada masa itu sokongan tinggi atau sekadar umum tetapi sebenarnya hanya ada RM10,000 lebih. Atau dapat kutip RM50,000 tetapi dalam akaun masuk RM10,000. Hanya mereka (pengurusan terdahulu) yang tahu dan kalau mahu tegakkan versi mereka terpulanglah,” katanya.
Terdahulu, pada sesi penggulungan Exco Belia dan Sukan, Mohd Firdaus Ahmad turut membangkitkan isu sama yang mengesahkan jumlah tabung CAS KFA sekitar RM10,000.
Namun dipersoal Mohd Asmirul sehingga berlaku perbalahan dan memaksa Speaker DUN Kedah mencelah untuk meredakan suasana.
Ketika mencelah, Mohd Asmirul menjelaskan jumlah RM50,000 hanya jangkaan kutipan yang disumbang secara terus ke akaun KFA.
“Awalnya jangkaan RM50,000 tetapi kos sebenar guaman melebihi jumlah itu. Ia beri gambaran seolah pengurusan terdahulu curi RM40,000. Tolong semak perjanjian Football Republic sebab guna nama syarikat berbeza, manakala lambakan merchandise sebab ketiadaan penonton. Ini persepsi jahat terhadap kami,” katanya.
Mohd Firdaus sebaliknya meminta Mohd Asmirul membuat permohonan maaf sekiranya beliau berkemungkinan tersilap berkaitan penyata terbabit.
“Saya rujuk penyata kewangan, dituduh pula saya buat tuduhan jahat,” katanya.
Sebelum itu, Mohd Firdaus turut mendedahkan berkaitan tajaan Football Republic yang tiada rekod penerimaan dalam penyata KFA, selain penajaan Chenang Bay hanya RM500,000 yang meragukan, serta hutang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM3 juta yang tidak dibayar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!