Dua tapak bina Kluster Damanlela ditutup

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belum terdapat keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tapak bina melibatkan Kluster Damanlela, di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyaring kesemua pekerja asing terlibat dan dua tapak pembinaan berkaitan telah ditutup.

"Semua pekerja yang positif telah dimasukkan ke hospital dan ‘close contact’ (kontak rapat) telah dikuarantin di hotel-hotel yang ditanggung oleh majikan," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Katanya, setakat ini sejumlah 3,128 pekerja tapak binaan berkaitan telah disaring dan merekodkan 1,346 kes positif.

Sementara, dua tapak bina iaitu Pavilion Height di Damansara Fasa 2 dan PARC 3 di Cheras telah ditutup.

Mengulas mengenai peningkatan kes di Lembah Klang terutama di Kuala Lumpur, Ismail Sabri berkata, setakat ini, hanya PKPD secara lokaliti akan dikenakan.

"KKM akan terus mengenal pasti dan membuat penilaian risiko jika ada keperluan tertentu untuk lokaliti itu dikenakan PKPD," katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, tiada sebarang cadangan untuk mengenakan PKPD di seluruh Kuala Lumpur buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, dari 660 kes Covid-19 positif yang dilaporkan, hanya 31 daripadanya direkodkan di Kuala Lumpur iaitu penurunan berbanding 245 kes yang dicatatkan semalam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!