Enam ajaran diwartakan haram di Negeri Sembilan

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak enam ajaran di Negeri Sembilan difatwakan haram kerana bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat susulan fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS), hari ini.

"Ajaran yang diharamkan itu ialah golongan antihadis, Ajaran Tapediri 65 atau Ba Tha Mim 114, Ajaran dan Fahaman Hizbut Tahrir, upacara dan amalan perbomohan Ibrahim Mat Zin.

"Turut diharamkan, ajaran Zikir Alunan Zat Cinta / Hikmah Al-Fatihah daripada Mohd Zaman Mohd Nor dan ajaran Millah Abraham@ Ibrahim," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan JMNS dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk memantau dan membantu masyarakat kembali ke pangkal jalan selain menasihati orang awam supaya tidak terlibat dengan mana-mana ajaran sesat.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin menggesa usahawan mikro di negeri ini untuk membuat permohonan Skim Pensijilan Halal Malaysia yang sedang dibuka kepada orang ramai pada masa ini, bertujuan menambah lebih ramai usahawan terutama peniaga kecil mendapatkan sijil halal.

“Apa-apa jenis perniagaan selain peniaga yang sudah berniaga juga layak memohon dengan JHEAINS dan dikenakan bayaran RM200 bagi tempoh dua tahun. Kriteria permohonan juga lebih mudah dan akan diluluskan secepat mungkin," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!