Tahun terakhir saya di Kelantan: Yusry Che Lah

Yusry Che Lah
Yusry Che Lah
A
A
A

SELEPAS tiga tahun berkhidmat, akhirnya Ketua jurulatih Kelantan FA, Yusri Che Lah mengumumkan meninggalkan pasukan itu hari ini.

Perkara tersebut dikongsi beliau melalui entri laman sosial Facebooknya dan mendapat respon daripada seluruh penyokong dan pemain pasukan itu.

Melalui entri tersebut, beliau merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada barisan jurulatih dan pemain yang sangat disayanginya.

“Saya mohon maaf kerana saya tidak lagi dapat bersama kamu semua. Saya rasa tiga tahun ini sudah cukup untuk saya menimba segala pengalaman suka dan duka bersama pasukan Kelantan. Saya yakin dengan pengurusan baharu TRW FC dan anda semua akan lebih menyinar.

“Terima kasih kerana selalu bersama saya di waktu susah dan senang. Terima kasih Tuan Zam (Pemilik TRW, Norizam Tukiman) yang hadir di saat kami amat memerlukan bantuan. Jasa Tuan Zam saya ingat sampai mati. Terima kasih juga kerana memahami dan menghormati keputusan saya,” katanya dalam entri tersebut.

Selain itu, Yusry juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong-penyokong pasukan The Red Warriors kerana menerima beliau seadanya selama tiga musim di Kelantan.

Katanya, dalam setiap tindakannya mungkin ada yang suka dan sebaliknya, namun dia menganggap semua pihak sebagai saudara seagama dan sebarang komen serta teguran tersebut adalah untuk melihat pasukan kesayangan rakyat Kelantan itu berjaya.

“Saya doakan pasukan Kelantan FC akan berjaya di masa hadapan. Pahit manis suka duka, kejian dan pujian akan saya simpan menjadi kenangan yang terindah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!