Pemain remaja negara pamer taring
HARI pembukaan saingan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir 2020 memperlihatkan kejutan daripada pemain remaja kebangsaan.
Ong Ken Yon dan Justin Hoh cemerlang pada hari pertama selepas melakar dua kemenangan untuk mendominasi carta perseorangan lelaki.
Ken Yon mengejutkan Lee Shun Yang straight set 21-19, 21-16 pada perlawanan sesi pagi disusuli kemenangan ke atas Ter Chun Long juga dengan kemenangan straight set 21-16, 21-13.
“Saya tidak fikir perkara lain selain menumpukan sepenuhnya terhadap permainan saya. Sudah tentu peluang ini saya akan manfaatkan dengan sebaiknya untuk saya tunjukkan kepada barisan kejurulatihan.
“Saya fikir pemain pemain senior akan lebih tertekan di pertandingan ini, justeru saya hanya tumpukan permainan saya sahaja,” kata Ken Yon.
Justin Hoh turut cemerlang apabila bangkit daripada kekalahan untuk menundukkan Wyman Goh 13-21, 21-17, 21-17 sebelum menutup hari pertama dengan kemenangan 100 peratus selepas menang ke atas Lee Shun Yang dalam aksi tiga set 13-21, 21-16,21-11.
“Hari ini lawan saya tiga tahun lebih tua daripada saya. Ia bukan masalah kerana ketika di gelanggang saya hanya tumpukan corak permainan sendiri.
“Walaupun masih berusia 16 tahun, saya mahu buktikan kepada jurulatih, saya mampu untuk tewaskan pemain pemain senior. Bukan mudah untuk kalahkan mereka tetapi saya akan berikan yang terbaik sepanjang perlawanan,” ujarnya.
Saingan perseorangan perempuan pula diungguli pemain senior yang mana Eoon Qi Xuan dan K Letshaana berjaya menundukkan lawan masing masing.
Qi Xuan tidak berdepan masalah untuk menundukkan Tan Zhing Yi straight set 21-10, 21-8 sementara Letshaana turut melakar kemenangan straight set 21-18, 21-17 ke atas Myisha Mohd Khairul.
“Lawan saya hari ini adalah pemain remaja dan dia (Tan Zhi Ying ) kurang dari segi kekuatan. Saingan kali ini saya mahu mengawal tekanan ke atas diri sendiri kerana jika saya gagal, ia akan menjejaskan rentak permainan saya,” kata Qi Xuan.
Aksi beregu lelaki diungguli gandingan Choong Hon Jian-Nur Firdaus Azman dan pasangan Lwi Sheng Hao-Yap Roy King yang berjaya melakar kemenangan dalam aksi pembukaan hari ini.
Choong Hon dam Nurfirdaus sukar untuk digugat beregu muda dalam pembikinan, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe, namun dipaksa beraksi tiga set sebelum menang 16-21, 21-15, 21-16
Lwi Sheng Hao-Yap Roy King juga dipaksa bermain tiga set sebelum mengesahkan kemenangan pertama dengan menundukkan Muhd Haikal-Wan Muhd Arif 21-17, 18-21, 21-18.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!