PRK Parlimen Batu Sapi batal: SPR

Abdul Ghani ketika sidang media di Menara SPR pada 13 Oktober lalu. - Foto Bernama
Abdul Ghani ketika sidang media di Menara SPR pada 13 Oktober lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember depan tidak akan diteruskan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di kawasan Parlimen berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK berkenaan susulan pengisytiharan darurat tersebut.

“SPR mengambil maklum akan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi membolehkan suatu ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK tersebut selepas diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 13 Oktober lepas, SPR menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian pada 5 Disember.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!