Geoekonomi dan geopolitik RCEP

A
A
A

PERJANJIAN Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akhirnya ditandatangani selepas pelbagai siri rundingan dan perbincangan sejak hampir lapan tahun lalu. Bagi pihak Malaysia, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menandatanganinya selepas Sidang Kemuncak RCEP ke-4 secara maya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa perjanjian RCEP dijangka meningkatkan integrasi ekonomi serantau, mempromosikan aliran pelaburan dan memperkuat rantaian bekalan global.

Secara teorinya, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti RCEP ini adalah jalan terbaik bagi sesebuah negara untuk mempertahankan daya saingnya melalui promosi perdagangan antarabangsa serta mendorong pelaburan, apatah lagi dalam keadaan Covid-19.

Secara khusus, ramai pemerhati melihat RCEP sebagai peluang terbaik kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyasarkan pasaran global pada masa hadapan sepertimana menurut pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Benar, RCEP iaitu perjanjian perdagangan bebas antarabangsa terbesar yang pernah dimeterai itu meliputi pasaran global sebanyak RM102.2 trilion atau 28.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Menurut beliau, RCEP sebenarnya akan melatih syarikat PKS untuk bertanding dalam pasaran terbuka dan ini titik tolak terpenting kepada mereka untuk mengambil peluang memasuki pasaran ASEAN dan Asia Pasifik.

Bagaimanapun, terdapat dua perspektif risiko yang perlu diawasi dalam menjayakan RCEP iaitu geoekonomi dan geopolitik. Dari segi geoekonomi, kelemahan perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) sebelum ini jelas memberi isyarat masalah yang boleh berlaku dalam kalangan 10 negara

ASEAN yang menyertai RCEP; AFTA jelas kurang memberi impak kerana setiap negara peserta sering beralasan untuk tidak mematuhi perjanjian ditandatangani mereka.

Artikel Berkaitan:

Tidak menghairankan apabila Barjoyai mencadangkan satu pertubuhan formal antara negara peserta RCEP yang menyerupai Kesatuan Eropah (EU) ditubuhkan untuk jangka masa pertengahan dan panjang bagi memastikan inti pati perjanjian RCEP dapat dilaksanakan secara jitu dan berkesan serta mengelak kegagalan AFTA berulang.

Pandangan ini turut dikongsi seorang lagi pakar iaitu Profesor Hoo Ke Ping yang mempertimbangkan selain faktor jangkaan kemunculan semula perjanjian Perjanjian Trans Pasifik Komprehensif dan Progresif (CPTPP), RCEP dilihat sukar mencapai objektif susulan dasar ekonomi terbaharu China yang akan mengurangkan nilai import barangan.

Sememangnya, China kini berdepan masalah kekurangan rizab kewangan susulan inisiatif negara itu memberi pinjaman luar dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM800 bilion.

Selain itu, Ke Ping turut menegaskan bahawa ASEAN, Taiwan dan Jepun sendiri berdepan dengan pelbagai konflik berkepentingan dengan China seperti isu persaingan eksport perdagangan barangan elektrik dan hak intelek di mana 40 peratus nilai eksport China adalah barangan berkenaan.

Dari sudut geopolitik pula, RCEP berisiko disaingi CPTPP susulan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) awal November lalu.

Untuk rekod, RCEP boleh dianggap sebagai tindak balas China terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang disokong kuat AS sewaktu pentadbiran bekas Presiden Barack Obama.

Malah, Ke Ping turut meluahkan keyakinan beliau bahawa AS bakal kembali dengan versi perjanjian TPPA baharu dalam bentuk CPTPP apabila Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada Januari 2021 nanti.

Tindakan agresif China yang menceroboh wilayah negara ASEAN selain mengukuhkan kehadiran aset ketenteraan serta pulau buatan mereka di Laut China Selatan turut mengimpak pelaksanaan RCEP. Selain iktibar kelemahan AFTA yang lalu, hakikat bahawa India menarik diri daripada RCEP turut memberi isyarat cabaran geopolitik yang bakal menanti pelaksanaan RCEP.

Dalam keadaan AS berusaha mengimbangi tindak-tanduk China melalui Pakatan Indo-Pasifik melibatkan India, Jepun dan Australia, pastinya pelaksanaan RCEP akan sedikit sebanyak terkesan dengan impak geopolitik kelak.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!