Warisan junjung titah Agong perkenan darurat

 Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) percaya titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pengisytiharan darurat adalah sebagai tanda keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kesihatan rakyat Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan menjunjung kasih terhadap titah Seri Paduka Baginda yang memberi perkenan supaya darurat dilaksanakan di kawasan Parlimen Batu Sapi.

"Warisan percaya Seri Paduka Baginda mengeluarkan titah tersebut atas keprihatinan baginda terhadap kesihatan rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi yang kini merupakan salah satu zon merah akibat jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Seri Paduka Baginda telah menggunakan kebijaksanaan dalam pengisytiharan darurat itu, sekali gus menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, dalam melaksanakan proses demokrasi, kesihatan rakyat tidak boleh dijadikan pertaruhan sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam situasi negara ketika ini yang masih berjuang menentang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, Warisan pada masa sama berharap kerajaan dapat mencari jalan terbaik untuk memastikan satu tarikh tertentu dapat ditetapkan untuk memberitahu rakyat terutama di kawasan Batu Sapi bila tempoh darurat akan berakhir.

"Menjelaskan perkara ini, Warisan berpendapat setiap rakyat di Batu Sapi perlu mempunyai pemimpin yang mewakili mereka dan membawa isu-isu rakyat di Parlimen.

"Warisan berharap hak rakyat Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat ditunaikan sebaik sahaja jangkitan Covid-19 dapat dikawal dan selepas kerajaan menarik balik pelaksanaan darurat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, Warisan turut berharap dalam tempoh darurat itu, kerajaan memberi jaminan agar kebajikan setiap rakyat di Batu Sapi terutama bantuan makanan dan keperluan harian sentiasa diutamakan tanpa ada pilih kasih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!