'Duit KWSP duit kami juga'
KEPADA rakan-rakan sepencaruman, Isu pengeluaran duit caruman KWSP hangat dibincangkan dalam beberapa minggu ini. Semestinya, ramai ahli politik dan rakyat yang mahu supaya semua orang dibenarkan mengeluarkan duit caruman masing-masing. Saya faham ramai yang hidup susah sekarang. Cuma saya harap saya dapat ceritakan perspektif yang sedikit berbeza.
Saya adalah seorang pesara. Selepas lebih 40 tahun bekerja, hidup saya sekarang tenang-tenang sahaja. Saya tidak berniaga atau mencari kerja sampingan – hanya fokus baca akhbar, tonton televisyen dan layan anak cucu, seperti pesara-pesara yang lain.
Saya hidup selesa, tak susah tetapi tidak lah mewah. Bila saya bersara beberapa tahun dahulu, saya dan isteri buat keputusan untuk biarkan duit caruman saya dalam KWSP. Harapan kami agar duit caruman saya dapat bertambah-tambah dengan faedah yang konsisten dan selamat, daripada kami keluarkan dan letak dalam bank dengan faedah yang sangat rendah.
Pendek kata, saya dan isteri hidup dengan duit caruman dan faedah-faedah pelaburan caruman itu sahaja.
Saya sedar saya antara yang bertuah. Ramai rakyat Malaysia yang hidup susah sewaktu Covid-19 ini. Ada yang hilang kerja, ada yang dipotong gaji dan macam-macam lagi. Saudara-mara saya pun antara yang terkesan teruk dan saya cuba bantu setakat yang boleh.
Saya sangat bersetuju bahawa mereka ini yang dilanda kesempitan hidup perlu dibantu sehabis baik. Ada juga geng YB (Yang Bersara) saya yang bising-bising kenapa banyak sangat kerajaan bantu golongan-golongan sebegini, hampir langsung tak ada untuk golongan pesara.
Saya OK sahaja. Malah saya harap, jika mampu, kerajaan bantu lagi mereka-mereka ini yang hidup kesusahan. Cuma satu saja yang saya minta – fikir-fikirkan juga duit KWSP kami yang bersara ini.
Bagi saya, dan kemungkinan besar untuk majoriti pesara yang lain, duit yang kami carum dalam KWSP ini lah duit kami hidup dalam persaraan ini.
Mungkin saya hidup selesa dengan duit KWSP itu, tetapi ada juga pesara yang duit persaraan mereka hanya cukup-cukup untuk hidup sahaja.
Nasib baik faedah tahunan stabil, sekurang-kurangnya baki caruman mereka dapat bertambah apabila kos sara hidup meningkat setiap tahun.
Jangan salah anggap. Saya amat faham bila akaun dua (Akaun Pra-Persaraan) dibenarkan untuk pengeluaran. Saya amat faham bila akaun satu (Akaun Persaraan) dibenarkan pengeluaran untuk golongan yang hilang kerja. Sewaktu pengeluaran akaun satu diluaskan lagi tempoh hari kepada hampir dua juta orang, walaupun saya tak berpuas hati, tetapi saya faham.
Tetapi cukup-cukup lah itu. Fikir-fikirkan juga untuk pesara seperti kami. Kami mencarum bertahun-tahun untuk hari tua. Faedah pelaburan itu lah satu-satunya sumber pendapatan kami sekarang.
Saya tengok Facebook, ramai yang kata ‘Kalau saya keluarkan caruman saya, tak bagi kesan kepada orang lain pun?’
Maaf saudara, tetapi ia beri kesan besar kepada saya dan pencarum lain. Jika ramai yang keluarkan caruman persaraan, duit untuk KWSP labur pun berkurangan. Bila duit pelaburan KWSP berkurangan, risiko pelaburan pun naik mendadak sebab KWSP tidak dapat memperluaskan portfolio pelaburan. Bila risiko pelaburan naik, faedah tahunan kepada pencarum akan turun mendadak. Ada juga di antara kami pesara yang melabur dalam pasaran saham – itu pun sudah pasti terjejas sepertimana yang kita lihat sehari selepas pengumuman i-Sinar.
Maaflah jika saya nampak macam pentingkan diri. Saya juga ada keluarga. Bagi pencarum yang betul-betul perlu, seperti yang hilang kerja, saya faham bila pengecualian ini diberi. Tetapi bila banyak lagi yang minta berikan pengecualian kepada semua pencarum, termasuk bagi mereka yang masih ada pekerjaan, yang terima banyak lagi bantuan-bantuan seperti Bantuan Prihatin, Subsidi Upah dan macam-macam lagi - itu sama sekali saya tak boleh setuju.
Saya faham ramai yang hidup dalam kesusahan. Dan saya bersetuju dengan apa-apa cara pun di mana kerajaan dapat meringankan beban anda. Kami golongan pesara mungkin tidak lah hidup susah seperti anda.
Tetapi kami telah bekerja dan mencarum berpuluh-puluh tahun dengan satu harapan sahaja – untuk menikmati akhir-akhir hayat kami bersama anak dan cucu dengan duit caruman dan faedah yang kami sepatutnya ada. Maka saya merayu satu sahaja, jangan hancurkan impian kami juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!