Darurat Batu Sapi: Langkah proaktif lindungi rakyat

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengisytiharkan proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi sekali gus membatalkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan proaktif Seri Paduka Baginda itu sudah tentu bertujuan untuk melindungi rakyat daripada ancaman koronavirus (Covid-19) dan pengalaman ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September lalu perlu dijadikan iktibar.

"Rekod yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 12 September lalu iaitu ketika hari penamaan calon menunjukkan kes kumulatif Covid-19 merekodkan sebanyak 808 kes dan selepas hari pengundian 26 September, kes meningkat mendadak iaitu sebanyak 1,547 kes dilaporkan iaitu sekitar 91.5 peratus.

"Selepas empat minggu PRN berlaku, peningkatan kes secara mendadak di mana Sabah dan negeri yang tertinggi mencatatkan kes positif Covid-19. Ini perlu dilihat secara rasional implikasinya jika kita meneruskan PRK di Parlimen Batu Sapi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, berikutan kebimbangan penularan wabak itu akan mengambil masa untuk pulih, BN Sabah lebih awal lagi menyatakan pendirian tidak meletakkan calon sekiranya PRK Parlimen Batu Sapi diteruskan.

"Pengisytiharan proklamasi darurat sekali gus membatalkan PRK Parlimen Batu Sapi bukanlah bertujuan menafikan hak demokrasi rakyat terutama pengundi di kawasan ini, tetapi ia ditangguhkan.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan untuk meneruskan PRK jika keadaan penularan pandemik Covid-19 reda berdasarkan kepada perlembagaan yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 November ini manakala hari pengundian awal 1 Disember dan 5 Disember hari pengundian biasa.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober akibat jangkitan paru-paru.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!