Tak mampu atau tak mahu bayar?
SEGELINTIR ibu bapa ada yang setuju dan rela hati untuk memberi sumbangan wang yuran kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Misalnya seorang suri rumah, Rusiah Salleh, 38, yang membayar yuran PIBG berkenaan pada sesi persekolahan dibuka awal tahun ini kerana menganggap langkah berkenaan merupakan tanggungjawab ibu bapa.
"Dulu memang wajib bayar, sekarang sejak dua tahun lepas tak salah saya, sesiapa nak bayar, bayar, tak nak bayar tak perlu.
"Itu sebab kini dikatakan sumbangan PIBG dan bukan lagi yuran wajib, tapi eloklah ibu bapa bayar demi anak-anak," katanya.
Begitu juga Siti Fatimah Busu, 36, yang sudah membuat bayaran sumbangan PIBG sebanyak RM50.
"Kalau dikira bagi setiap anak-anak ke sekolah seorang sebanyak RM50, memang saya rasa agak tak patut, tapi RM50 untuk PIBG dalam tempoh setahun adalah wajar untuk diberikan ibu bapa," katanya.
Bagi Halimah Bachtiar, 36, pula, penjelasan yang dibuat oleh guru kepada ibu bapa membantu untuk memberi pemahaman betapa pentingnya untuk menjelaskan sumbangan PIBG sebanyak RM50 bagi sebuah keluarga.
Menurut pekerja swasta itu, sumbangan PIBG berkenaan akan digunakan sebaik mungkin untuk anak masing-masing.
"Bukan semua ibu bapa mampu untuk membayar sumbangan yuran PIBG. Tapi jika sekolah minta wang dari pintu ke pintu atau macam minta derma, eloklah ibu bapa memberi kerjasama menjelaskan sumbangan PIBG kepada pihak sekolah.
"Memang kerajaan ada bagi subsidi, tetapi kita semua pernah berada di sekolah dan tahu situasi sebenarnya, jadi tak perlu berkira sangat demi anak-anak," katanya.
Murid sekolah bakal mendapat program berkualiti sekiranya PIBG mereka tidak berhadapan masalah atau dilema kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!