Reman dua warga Myanmar kes rogol OKU disambung
HULU TERENGGANU - Perintah reman terhadap dua suspek kes rogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) disambung selama empat hari bermula esok.
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda mengeluarkan perintah terhadap dua warga Myanmar itu di Mahkamah Majistret Kuala Berang, hari ini.
Dua suspek berpakaian lokap berwarna oren tiba di Mahkamah Majistret Kuala Berang kira-kira jam 10 pagi menaiki van polis.
Terdahulu, dua warga Myanmar ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 November.
Kedua suspek itu ditahan dipercayai merogol seorang wanita OKU berusia 23 tahun dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Ajil, di sini, 11 November lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an ditahan sekitar jam 11 malam di dua lokasi berasingan di sekitar Ajil.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan OKU pendengaran dan bisu dirogol suspek pada jarak 50 meter daripada kediaman mangsa sekitar jam 7.30 hingga 8 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!