Kecekapan sistem LHDNM beri impak positif pada ekonomi negara

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyediaan sistem serta prosedur operasi standard (SOP) yang baik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam pelaksanaan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Geran Khas Prihatin (GKP) memberi impak positif bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun penyediaan sistem dan SOP dilakukan dalam masa yang singkat tetapi ia amat cekap.

Beliau berkata, ia terbukti apabila kerajaan dapat membantu seramai 10.6 juta rakyat Malaysia yang menerima manfaat daripada BPN dengan peruntukan bernilai lebih RM18 bilion, manakala sebanyak 545,000 PKS (pengusaha industri kecil dan sederhana) yang menerima GPK dengan peruntukan lebih RM2 bilion.

Katanya, pelaksanaan pakej-pakej rangsangan dengan cepat, tepat dan bersasar yang dilakukan LHDNM bersama agensi Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) juga memberi impak positif kepada pemulihan ekonomi negara apabila terdapat dua berita yang memberangsangkan mengenai pertumbuhan ekonomi negara dilaporkan pada bulan ini.

"Pertama, kadar pengangguran dilaporkan menurun kepada 4.6 peratus pada bulan September dan ini adalah penurunan daripada kemuncak 5.3 peratus pada bulan Mei kepada 4.9 peratus pada bulan Jun, 4.7 peratus pada bulan Julai dan Ogos serta kini sebanyak 4.6 peratus.

"Selain itu, dalam pengumuman KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) suku ke-3 oleh Bank Negara baru-baru ini, Malaysia telah mencatat penguncupan -2.7 peratus dan ini adalah penurunan ketara daripada -17.1 peratus pada suku ke-2," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2020 (HII2020) secara dalam talian dari Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, hari ini.

Tegasnya, pencapaian KDNK suku Ke-3 ini menjadikan Malaysia adalah yang terbaik di rantau Asia dan juga mengatasi beberapa negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) lain.

Turut serta dalam sambutan yang diadakan secara dalam talian itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah LHDNM, Datuk Asri Hamidon, sementara Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Seri Dr Sabin Samitah pula bersiaran secara langsung dari Menara Hasil Cyberjaya.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul bagaimanapun menegaskan bahawa usaha yang dilakukan masih belum selesai dan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mencapai kadar 6.5 peratus ke 7.5 peratus seperti yang diunjurkan bagi tahun 2021, semua pihak perlu meningkatkan kecekapan pengurusan.

"Kita perlu melonjakkan pelaburan di samping memastikan pengurusan kutipan hasil negara yang lebih efektif," katanya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, bahawa usaha kerajaan untuk menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja melalui pakej Pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Kita Prihatin menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negara pada bulan September iaitu kepada kadar 4.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!