Pas lapor polis terhadap pemilik FB hina Hadi
MELAKA - Pas Melaka mengecam tindakan biadab pihak yang menyunting gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam keadaan mengaibkan dan menyiarkannya di laman sosial Facebook sejak semalam.
Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sedik berkata, beliau kesal dengan tindakan individu yang tidak menghormati ideologi politik berbeza sehingga sanggup membuat serangan jahat seperti itu.
Beliau berkata, perbuatan mengaibkan wajah pemimpin tertinggi Pas itu disifatkan sebagai jelik dan tidak bermaruah.
"Perbuatan mereka ini sengaja mengundang kemarahan rakyat khususnya umat Islam. Kita harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pengendali akaun Facebook berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu, laman yang menggunakan nama 'Melaka State' itu menyiarkan satu hantaran memaparkan wajah Ahli Parlimen Marang itu yang disunting dengan badannya ditukar kepada seorang bayi yang sedang merangkak.
Gambar berkenaan mengundang kecaman dan kemarahan netizen yang mendakwa perbuatan pengendali akaun Facebook tersebut tidak menghormati fahaman politik atau agama berbeza di negara ini.
Sementara itu, Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan tindakan segera diambil selain mengheret mereka ke muka pengadilan.
"Setakat ini Pas Cawangan Masjid Tanah dan Hang Tuah Jaya membuat laporan polis, diikuti cawangan lain sebagai tanda protes terhadap penyiaran gambar jelik dan tindakan dapat diambil segera sebagai iktibar," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan dibuat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!