Cuma 50 peratus bayar yuran PIBG

Mohd Sani
Mohd Sani
A
A
A

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Subang Bestari (2) mengakui kekurangan dana hasil sumbangan ibu bapa menyukarkan mereka mengadakan program mahupun majlis untuk pelajar serta membaiki kerosakan infrastruktur sekolah.

Yang Dipertuanya, Mohd Sani Awang berkata, pihaknya memerlukan sekitar RM80,000 setahun untuk program melibatkan pelajar tidak termasuk kos memperbaiki infrastruktur sekolah.

"Pada kebiasaanya hanya 50 peratus ibu bapa memberikan sumbangan, misalnya tahun lalu cuma berjaya mengumpul RM39,000. Semua duit itu digunakan untuk majlis melibatkan pelajar.

"Contohnya sempena Hari Kanak-Kanak tahun lalu, kami peruntukkan hadiah bernilai RM3 setiap seorang pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 2,000 pelajar. Jadi kos hadiah sahaja sudah berjumlah RM6,000 belum termasuk kos makan minum. Kalau semua ibu bapa beri sumbangan, kami rasa tidak ada masalah untuk kami melaksanakan lebih banyak program untuk pelajar," katanya.

Keadaan padang SK Subang Bestari 2 yang masih belum dapat dibaiki
kerana kekurangan dana.
Keadaan padang SK Subang Bestari 2 yang masih belum dapat dibaiki kerana kekurangan dana.

Tegasnya, itu baharu saja berkaitan program dan sememangnya jumlah RM80,000 diperoleh itu masih belum mencukupi sekiranya mahu digunakan untuk membaiki infrastruktur sekolah.

"Untuk membaiki infrastruktur sekolah seperti tandas, pagar dan sebagainya, sekurang-kurangnya memerlukan RM150,000. Setiap ringgit disumbangkan ibu bapa, faedahnya adalah untuk pelajar.

"Bila dana tak cukup, banyak program tak dapat dibuat. Sebab itu, kami juga mengharapkan pemimpin setempat dan mana-mana syarikat turut serta memberikan sumbangan selain meyakinkan ibu bapa dengan pelbagai program supaya mereka terus mahu memberikan sumbangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!