Imigresen nafi dakwaan 200,000 warga asing bolos
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen menafikan dakwaan laporan berita tempatan bertajuk '200,000 warga asing bolos' yang disiarkan semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius terhadap dakwaan akhbar terbabit yang menerbitkan angka-angka daripada sumber yang tidak pasti.
Menurutnya, jabatan menegaskan bahawa jumlah warga asing yang didakwa dalam laporan tersebut adalah tidak benar serta tidak dipastikan kesahihannya.
"Laporan berita ini juga boleh memberikan persepsi yang salah terhadap usaha-usaha agensi penguatkuasaan menjalankan tugas membanteras kegiatan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Kita sentiasa menjalankan usaha-usaha membanteras kegiatan sindiket berkaitan PATI termasuk kerja-kerja perisikan, operasi penguatkuasaan dan perkongsian maklumat bersama agensi lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha melumpuhkan sindiket yang membabitkan ejen-ejen PATI dan pegawai imigresen sendiri.
Katanya, pihaknya juga tidak akan berkompromi ke atas apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan memastikan usaha-usaha membanteras sindiket PATI serta aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan.
"Bagi tahun ini sehingga 18 November, sebanyak 6,300 operasi telah dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 90,282 pemeriksaan dan 34,529 tangkapan PATI.
"Selain itu, seramai 376 majikan turut ditangkap sepanjang tempoh ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!