Bomba selamatkan 13 mangsa banjir kilat

Anggota bomba dari BBP Tebrau meredah banjir kilat menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Jalan Permatang Utama, Kampung Kempas Baru, Johor Bahru hari ini.
Anggota bomba dari BBP Tebrau meredah banjir kilat menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Jalan Permatang Utama, Kampung Kempas Baru, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau menyelamatkan 13 mangsa termasuk 11 kanak-kanak di Jalan Permatang Utama, Kampung Kempas Baru di sini apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat hari ini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Kamaruzzaman Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.16 petang sebelum lima anggota bergegas ke tempat kejadian dibantu sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT).

"Ketika di lokasi, beberapa rumah di kawasan berkenaan didapati telah dinaiki air pada paras kedalaman tiga kaki setelah hujan selama kira-kira satu jam bermula pukul 2.30 petang.

"Sehubungan itu, anggota bertindak menyelamatkan 13 mangsa, terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan dan dua wanita dewasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapat bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis serta penduduk kampung dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang diselamatkan ditempatkan sementara di Balai Raya Jalan Permatang sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pukul 5.30 petang setelah air banjir surut.

"Operasi ditamatkan pada jam 5.40 petang setelah anggota memastikan keadaan benar-benar selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!