'Langkah ke arah kebenaran'
LONDON - Pewaris takhta United Kingdom (UK), Putera William menyambut baik siasatan terhadap kes yang mendakwa ibunya, Puteri Diana diperdaya ketika mendiang bersetuju untuk menyertai wawancara bersama BBC pada 1995.
William, 38, menyifatkan pengumuman dibuat BBC untuk melancarkan siasatan bebas ke atas insiden itu sebagai 'langkah ke arah kebenaran'.
"Ia diharap dapat membongkar kebenaran dan tindakan yang diambil pihak BBC pada masa tersebut," katanya lewat malam tadi merujuk kepada pendedahan dibuat Diana tentang perkahwinannya bersama Putera Charles yang musnah ketika wawancara pada November 1995 yang turut ditonton oleh 22.8 juta penonton.
Wawancara itu turut mendedahkan 'pihak ketiga' dalam hubungannya, Camilla Parker-Bowles yang merupakan bekas kekasih Charles dan pengakuan tentang kecurangannya.
Diana dan Charles bercerai secara rasmi pada 1996 dan ibu kepada dua putera itu maut dalam nahas kereta di Paris kira-kira setahun selepas itu.
Sebelum ini, Charles Spencer yang merupakan abang kepada Diana mendakwa wartawan program Panorama yang mengendalikan sesi wawancara itu, Martin Bashir menunjukkan dokumen palsu untuk memujuk bekas isteri Putera Charles tersebut.
Laporan terbaharu mendakwa Bashir, 57, yang kini memegang jawatan Editor Hal Ehwal Agama BBC menggunakan cara tidak jelas untuk memujuk Diana mendedahkan rahsia tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!