Lelaki intai wanita mandi dikenal pasti
JOHOR BAHRU - Polis sudah mengenal pasti seorang lelaki yang mengintai seorang wanita mandi dalam tandas dan merakamnya menerusi telefon bimbit di Taman Setia Indah di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek berusia 24 tahun yang juga merupakan jiran mangsa dipercayai sudah dua kali melakukan perbuatan tersebut.
"Susulan itu mangsa yang berusia 23 tahun membuat laporan polis pada jam 2.26 petang memaklumkan dia diintai seorang lelaki semasa mandi pada jam 7.15 pagi sebelum itu.
"Mangsa mendakwa ketika mandi dalam tandas rumah sewanya mendapati ada pergerakan orang di luar tandas mengintai melalui tingkap tandas yang sedikit terbuka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengesyaki lelaki tersebut adalah jirannya yang menyewa rumah sebelah.
"Ini kerana hanya suspek yang bangun pagi pada masa tersebut. Mangsa telah merakam pergerakan suspek menggunakan telefon bimbit tetapi tidak jelas," katanya.
Mohd Padzli berkata, wanita itu mendakwa kejadian pada pagi kelmarin adalah kali kedua sejak menyewa di rumah tersebut kira-kira dua bulan lalu.
Katanya, pihaknya kini hanya menunggu arahan untuk menahan suspek dalam masa terdekat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!